Ben Chong tegaskan kenyataan diputar belit, tolak tuduhan hina masyarakat Cina

KOTA KINABALU:Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Datuk Ben Chong Chen Bin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa kenyataannya berhubung pelantikan wakil masyarakat Cina dalam Kabinet Negeri Sabah bersifat menghina atau merendahkan kaum berkenaan.

Beliau menegaskan, kenyataan yang dikeluarkannya telah dipetik di luar konteks dan diputar belit oleh pihak tertentu demi kepentingan politik sempit.

“Tuduhan bahawa saya menghina masyarakat Cina adalah tidak berasas dan berniat jahat. Sebagai wakil rakyat di kawasan majoriti masyarakat Cina, saya telah berkhidmat bertahun-tahun untuk membela kebajikan dan kepentingan mereka,” katanya dalam satu kenyataan terkini.

Terdahulu, tiga ADUN Warisan masing-masing ADUN Elopura, Calvin Chong; ADUN Karamunting, Alex Wong dan ADUN Tanjong Papat, Alex Thien mendakwa kenyataan Ben Chong menyiratkan bahawa masyarakat Cina ‘tidak layak’ dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri.

Mengulas lanjut, Ben Chong menjelaskan bahawa kenyataannya merujuk kepada realiti dan pertimbangan politik semasa, bukannya menyentuh soal kelayakan, kemampuan atau martabat mana-mana kaum.

“Apa yang saya jelaskan adalah hak prerogatif Ketua Menteri dalam membuat pelantikan Kabinet berdasarkan landskap politik dan mandat rakyat. Ia langsung tidak mempunyai kaitan dengan isu kelayakan kaum,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan pihak pembangkang membangkitkan isu berkenaan sebagai cubaan memainkan sentimen perkauman bagi meraih sokongan politik.

“Ini politik sempit dan berbahaya. Kenyataan saya dipetik sebahagian dan diabaikan konteks sebenar. Ia boleh menghakis semangat perpaduan yang sekian lama terjalin di Sabah,” katanya.

Ben Chong menegaskan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa konsisten dengan prinsip inklusiviti dan perkongsian kuasa dalam kalangan masyarakat majmuk negeri ini.

“GRS menghargai sumbangan semua kaum, termasuk masyarakat Cina, dalam pembangunan Sabah. Ketua Menteri sendiri telah berulang kali menyatakan komitmen untuk mentadbir secara adil dan inklusif,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa beliau pernah menjanjikan sebarang jawatan kepada mana-mana pihak.

“Saya tidak pernah menjanjikan apa-apa jawatan. Pelantikan adalah hak Ketua Menteri sepenuhnya, dan saya konsisten dengan prinsip itu sejak awal,” katanya.

Menurut Ben Chong, mandat yang diterimanya di Tanjong Kapor adalah berdasarkan rekod khidmat dan kepercayaan rakyat, bukan agenda perkauman.

“Saya dipilih untuk berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang. Itulah prinsip yang saya pegang,” katanya.

Beliau menggesa semua pihak supaya menghentikan politik perpecahan dan memberi ruang kepada kerajaan baharu untuk bekerja demi kepentingan negeri.

“Pilihan raya telah selesai. Sekarang adalah masa untuk membina semula, bukan menanam benih perpecahan. Sabah memerlukan kestabilan dan perpaduan,” katanya.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles