Program keagamaan perkasa wanita selari Malaysia MADANI

TAWAU: Program Suburkan Iman, Sebarkan Ihsan yang menghimpunkan ribuan wanita Muslimah di daerah ini dilihat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam usaha membentuk masyarakat berakhlak mulia dan berjati diri.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penganjuran program seumpama itu mampu memperkukuh nilai keimanan sekali gus membentuk sahsiah diri yang unggul dalam kalangan masyarakat.

Katanya, usaha berkenaan bertepatan dengan hala tuju kepimpinan negara yang menekankan pembinaan masyarakat berilmu, bertanggungjawab serta memahami peranan masing-masing dalam pembangunan negara.

“Pengukuhan iman adalah asas penting dalam melahirkan akhlak atau ihsan, dan ini selari dengan konsep Malaysia MADANI yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Program seperti ini bukan sahaja memberi ilmu, malah menyatukan masyarakat khususnya wanita Muslimah dalam usaha membina negara yang lebih cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program berkenaan di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur khususnya Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia yang diketuai Datuk Hamisah Samat atas inisiatif menganjurkan program berkenaan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Persatuan Selawat serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Tawau.

Menurutnya, program yang menampilkan penceramah jemputan dari Indonesia, Oki Setiana Dewi berjaya menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk wakil NGO, jabatan kerajaan serta komuniti setempat.

Katanya, penglibatan aktif wanita dalam program berteraskan keagamaan seperti ini penting dalam memperkukuh institusi keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.

“Kesatuan dan kebersamaan yang terbentuk melalui program seperti ini mampu memberi impak positif dalam melahirkan masyarakat yang lebih harmoni dan berdaya tahan,” katanya. Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkasa pembangunan insan selaras dengan aspirasi negara.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles