Program Bubur Lambuk LSNS eratkan hubungan dengan masyarakat

KOTA KINABALU: Program agihan 1,000 pek bubur lambuk anjuran Lembaga Sukan Sabah (LSNS) berjaya menyemarakkan amalan berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat sepanjang bulan Ramadan, sekali gus mengeratkan hubungan antara kakitangan kementerian dan orang ramai.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata program tersebut merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan setiap kali Ramadan bagi memupuk nilai kebersamaan serta keprihatinan terhadap masyarakat.

“Alhamdulillah, pada petang ini saya dijemput oleh Lembaga Sukan Sabah, salah satu agensi di bawah kementerian, untuk bersama-sama mengagihkan bubur lambuk yang sememangnya menjadi program tahunan apabila tiba bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui media selepas program agihan bubur lambuk di hadapan pejabat LSNS, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata kira-kira 60 kakitangan LSNS telah bergotong-royong menyediakan 1,000 pek bubur lambuk yang merangkumi hidangan ayam dan daging.

“Saya ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada pihak pengurusan serta kakitangan LSNS atas inisiatif yang amat baik ini dalam menyemarakkan semangat kebersamaan serta budaya berkongsi rezeki,” katanya.

Menurut beliau, program seumpama itu bukan sahaja membantu masyarakat, malah turut menggalakkan orang ramai menghayati nilai keprihatinan dan kebajikan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Tambahnya, program agihan bubur lambuk tersebut telah dilaksanakan sejak tahun 2023 dan diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai salah satu aktiviti kebajikan kementerian.

Dalam pada itu, Nizam berkata kementeriannya akan terus melaksanakan pelbagai program kebajikan sepanjang Ramadan, termasuk kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta program bersama golongan belia dan Rakan Muda bagi menyantuni masyarakat yang memerlukan. Beliau berkata sambutan orang ramai terhadap program tersebut amat menggalakkan apabila kesemua 1,000 pek bubur lambuk yang disediakan berjaya diagihkan kepada pengguna jalan raya serta masyarakat sekitar dalam tempoh yang singkat.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles