KOTA KINABALU:Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menghadiri Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Masjid Negeri Sabah di sini, pada Jumaat.
Majlis bersempena 16 Ramadan 1447 Hijrah itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Aman bersama Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Tussin.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim M. Yahya; Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; serta Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Isnin Aliasnih.

Majlis dimulakan dengan acara khatam al-Quran sebelum diteruskan dengan penyampaian bantuan kepada golongan asnaf serta sesi Bicara Al-Quran.
Yang di-Pertua Negeri bersama isteri turut menyampaikan sumbangan tunai kepada golongan asnaf sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat yang memerlukan.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara berbuka puasa diikuti solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah. Program tersebut bukan sahaja memperingati peristiwa turunnya Al-Quran, malah menjadi platform memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
–TAMAT
