KOTA KINABALU:Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, tidak menolak kemungkinan berlaku pertandingan “free-for-all” atau perebutan sesama sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 29 November ini sekiranya parti-parti yang bekerjasama gagal menghormati persefahaman yang telah dicapai.
Beliau berkata, kenyataan Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Senator Datuk Nelson Angang, yang membayangkan hasrat untuk bertanding di beberapa kerusi milik GRS termasuk Limbahau, adalah terlalu awal dan boleh menimbulkan salah faham.
“Bagi kerusi yang sudah dipersetujui melalui rundingan, GRS tetap akan meletakkan calon walau siapa pun yang bertanding.
Kami telah berunding dengan Pakatan Harapan (PH) dan atas dasar itu, semua pihak wajar menghormati perjanjian yang telah dibuat,” katanya seperti dilaporkan Harian Ekspres.
Masidi memberi amaran bahawa kegagalan menghormati persetujuan itu boleh mencetuskan pertandingan bebas secara besar-besaran yang akhirnya hanya akan menguntungkan pihak lawan.
“Kalau kita mahu bekerjasama sebagai satu pasukan, maka kita perlu bertindak seperti satu pasukan.
Tidak boleh mengaku kawan tetapi pada masa sama menikam dari belakang. Persahabatan tidak boleh berfungsi begitu,” tegasnya.
Menurut Masidi, GRS sentiasa menekankan semangat berpasukan, disiplin politik dan rasa hormat antara parti komponen bagi mengekalkan kestabilan gabungan menjelang PRN ke-17.
Dalam masa sama, beliau mengalu-alukan persaingan sihat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan — yang diwakilinya selama lebih dua dekad — namun menegaskan bahawa tanggungjawabnya sebagai Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menuntut beliau kekal tegas dan berpendirian.
“Seorang jeneral mesti memimpin dari hadapan, bukan sekadar memberi arahan,” katanya, sambil menambah bahawa GRS dijangka mengumumkan senarai calon seminggu sebelum hari penamaan calon.
Difahamkan, Upko hanya diberikan dua kerusi untuk ditandingi di bawah logo parti sendiri, namun dikatakan berminat untuk melebarkan pengaruh ke kawasan majoriti Kadazan-Dusun-Murut (KDM) seperti Kiulu, Tamparuli dan Moyog.
Masidi ditemui selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bagi merasmikan BigSabah Sale 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Dalam ucapan yang disampaikan bagi pihak Ketua Menteri, Masidi berkata, acara BigSabah Sale berperanan penting dalam memperluas akses pasaran Sabah serta mengukuhkan kedudukan perdagangan negeri di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Kehadiran 13 negara termasuk Brunei, Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura, China, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan, India, Turki, Mesir dan Pakistan mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi Sabah sebagai pintu masuk utama perdagangan BIMP-EAGA dan Asia Pasifik,” katanya.
Beliau turut menyebut penubuhan Sabah Convention Bureau (SCB) pada tahun 2022 sebagai inisiatif memperkukuh keupayaan negeri dalam sektor mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE).
— TAMAT
