KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.24 Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya (SAY) mencadangkan agar kerajaan mempelbagaikan reka bentuk pakej Rumah Sabah Maju Jaya (Rumah SMJ), termasuk memperkenalkan konsep rumah bertingkat.
Beliau berkata, cadangan itu mengambil kira kekangan keluasan tanah, khususnya di kawasan Pantai Barat Sabah yang semakin terhad.
“Bagi kawasan pinggir pantai yang mempunyai ruang daratan terhad, saya menyarankan agar Kementerian Pembangunan Luar Bandar mempertimbangkan perancangan untuk memperkenalkan reka bentuk rumah bertingkat pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Kerajaan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 di Bangunan DUN Sabah, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, sejak diperkenalkan pada 2022, program Rumah SMJ telah merekodkan pembinaan sebanyak 4,482 unit di seluruh Sabah.
Dalam pada itu, Shah Alfie turut membangkitkan isu kemampuan memiliki rumah dalam kalangan rakyat, khususnya di kawasan sub-bandar seperti Putatan yang berdepan jurang ketara antara pendapatan dan harga rumah.
“Apakah inisiatif kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik kos sederhana di kawasan pinggir bandar seperti Putatan?
“Saya juga memohon penjelasan mengenai status terkini permohonan Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu di daerah itu,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyentuh isu infrastruktur dan utiliti termasuk masalah tekanan air yang tidak stabil serta kesesakan lalu lintas di kawasan Tanjung Keramat dan Putatan.
“Saya mohon penjelasan status penstabilan tekanan air di Putatan, khususnya di kawasan N.24 Tanjung Keramat.
“Pada masa sama, kesesakan lalu lintas yang serius turut menjejaskan produktiviti harian penduduk,” katanya.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai jangkaan siap Projek Lebuhraya Pan Borneo WP06 serta cadangan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan, termasuk status pembangunan lebuh raya persisiran pantai dari Tanjung Aru ke Kuala Papar sebagai penyelesaian jangka panjang.
