Sentimen tempatan lahir dari keyakinan terhadap rekod pentadbiran GRS: Masiung Banah

KOTA KINABALU:Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Masiung Banah, menegaskan bahawa sentimen sokongan terhadap parti-parti tempatan di Sabah bukanlah hasil propaganda politik, sebaliknya berpunca daripada keyakinan rakyat terhadap rekod pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Masiung berkata, dakwaan bahawa terdapat usaha menakut-nakutkan rakyat dengan meniup sentimen menolak parti Semenanjung tidak berasas, kerana realitinya rakyat Sabah kini lebih menilai hasil kerja dan keupayaan pentadbiran semasa.

“Sentimen ini bukan direka atau dimainkan oleh mana-mana parti. Ia lahir daripada pengalaman rakyat sendiri yang melihat prestasi pentadbiran semasa.

Rakyat semakin yakin kepada parti tempatan yang terbukti mampu mentadbir dengan baik,” katanya seperti dilaporkan olef FMT.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Sabah, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Sabah, Tan Sri Annuar Musa, yang mendakwa ada pihak cuba memainkan sentimen menolak parti Semenanjung menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.

Masiung menegaskan bahawa kepimpinan Kerajaan GRS telah menunjukkan keupayaan sebenar dalam mengurus negeri dengan berhemah dan pragmatik, termasuk dalam menjalin hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat.

“Sebagai contoh, Sabah berjaya memperoleh pemberian khas sebanyak RM600 juta daripada kerajaan pusat. Ini bukan perkara kecil dan ia dicapai melalui pendekatan matang, bukan retorik politik,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata, rakyat kini lebih realistik dan tidak mudah terpengaruh dengan retorik politik yang tidak berpijak pada hasil kerja.

“Rakyat menilai berdasarkan prestasi. Mereka melihat pembangunan luar bandar, peluang ekonomi dan penyelesaian isu tanah mula menampakkan hasil di bawah GRS.

Sabah sudah lama melalui politik tidak menentu, sebab itu rakyat mahukan kestabilan dan integriti,” ujarnya.

Masiung turut menegaskan bahawa PGRS, sebagai salah satu parti komponen utama dalam GRS, akan terus memperkukuh blok politik tempatan sambil memastikan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan diteruskan.

“Kita tidak memusuhi sesiapa, tetapi keutamaan sentiasa Sabah.

Inilah semangat sebenar perjuangan GRS — berprinsip, realistik dan berfokus kepada hasil,” katanya.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles