Harapan Rakyat akur agihan kerusi GRS, sedia hadapi PRU

TAWAU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) bersedia bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya diberi kepercayaan oleh kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, parti itu komited untuk mematuhi sebarang keputusan yang dipersetujui dalam gabungan berkenaan demi memastikan kemenangan GRS.

Menurutnya, semua parti komponen perlu mengekalkan semangat kerjasama dan kesatuan sebagai asas utama menghadapi pilihan raya.

“Setiap parti mempunyai aspirasi untuk menjadi calon, namun keadaan semasa perlu dinilai secara menyeluruh kerana tanpa kesatuan dalam GRS, kejayaan sukar dicapai.

“Kami akan akur dengan keputusan GRS. Dalam masa terdekat, mesyuarat akan diadakan bagi menentukan agihan kerusi serta calon yang akan bertanding,” katanya.

SANTUNI:Liew (kiri) menyantuni Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal serta Pemangku Ketua Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Dino Nurwahyudin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Harapan Rakyat di sini, Ahad, yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung.

Dalam pada itu, Liew memaklumkan Harapan Rakyat kini mempunyai kehadiran hampir di seluruh kawasan Pantai Timur Sabah dan merancang memperluaskan pengaruh ke Pantai Barat dalam masa terdekat.

Katanya, langkah itu penting bagi memperkukuh sokongan terhadap parti tempatan sekali gus mengukuhkan kedudukan GRS sebagai kerajaan negeri.

Mengulas sambutan majlis berkenaan, beliau menyifatkannya sebagai platform terbaik untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan walaupun tidak dihebahkan secara meluas. Ini menunjukkan sokongan berterusan rakyat terhadap parti tempatan khususnya kerajaan GRS,” katanya.

Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat amat penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan, khususnya di daerah Tawau.

“Dengan usaha kerajaan GRS yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama barisan Kabinet negeri, saya yakin pembangunan di semua daerah termasuk Tawau akan terus diperkasakan,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles