KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Hajiji Haji Noor mahu lebih banyak program berteraskan pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan dilaksanakan bagi memperkasa wanita di Sabah.
Beliau turut memuji peranan Majlis Penasihat Wanita Sabah yang aktif menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi, khususnya Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah dalam memperjuangkan agenda pembangunan wanita di negeri ini.
“Saya mahu melihat lebih ramai wanita terlibat secara aktif dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kepimpinan melalui program yang dilaksanakan oleh MPWS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi MPWS yang diketuai Pengerusinya, Datuk Dr Hajah Rosmawati Lasuki di Menara Kinabalu, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Rosmawati memberikan taklimat kepada Ketua Menteri mengenai pelaksanaan program MPWS yang memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan.
Antara inisiatif utama yang diketengahkan ialah program kepimpinan Global Women @ Sabah (GLOW@Sabah) yang bertujuan mengenal pasti wanita berpotensi sebagai pemimpin serta membimbing mereka mencapai potensi sepenuhnya.
Beliau turut memaklumkan mengenai sambutan Hari Wanita Negeri yang dijadualkan berlangsung pada 4 September ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi MPWS, Datuk Fauziah Abu Bakar Titingan; Setiausaha MPWS merangkap Pengarah JHEWA, Haslina Ismail; serta ahli jawatankuasa MPWS.
