Penstrukturan semula Gagasan Rakyat perkukuh gerak kerja Parti : Nizam

KOTA KINABALU:Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) merancang melaksanakan penstrukturan semula organisasi daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian, termasuk Labuan, sebagai langkah memperkemas serta mengukuhkan parti itu.

Ketua Penerangan PGRS, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata cadangan tersebut telah dipersetujui Majlis Tertinggi parti bagi memastikan gerak kerja organisasi lebih tersusun dan berkesan.

Menurut beliau, struktur baharu itu akan berasaskan 25 kawasan Parlimen di Sabah serta satu di Labuan, selaras dengan keperluan memperkukuh operasi parti di semua peringkat.

“Kita bersetuju untuk menyusun semula struktur parti bagi memperkemas serta mengukuhkan PGRS sebagai tunjang kepada kerajaan perpaduan di Sabah.

“Penstrukturan ini diharap dapat memberi manfaat besar dalam memperkukuh perjuangan parti untuk membela rakyat,” katanya kepada pemberita.

Nizam yang juga Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah berkata langkah itu merupakan hala tuju baharu PGRS dalam meningkatkan kecekapan pengurusan serta memudahkan pelaksanaan aktiviti parti di peringkat akar umbi.

Menurutnya, kelancaran gerak kerja parti akan turut memberi impak positif kepada kestabilan kerajaan negeri.

“Apabila parti bergerak dengan baik, ia secara tidak langsung menyokong kestabilan dan keberkesanan kerajaan yang memerintah ketika ini,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan berjalan dengan baik dan akan terus diperkukuh demi kepentingan Sabah serta rakyatnya.

Dalam perkembangan sama, Nizam memaklumkan bahawa parti akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkaitan termasuk pindaan perlembagaan parti.

Mengulas persiapan menghadapi pilihan raya akan datang, beliau berkata PGRS komited untuk terus mempertahankan kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang juga Presiden parti.

Menurutnya, kerjasama antara parti dalam kerajaan negeri ketika ini berada dalam keadaan stabil dan kukuh.

Sementara itu, beliau berkata Biro Penerangan PGRS akan terus memperkukuh jentera komunikasi parti termasuk merancang penganjuran kursus berkaitan kecerdasan buatan (AI) kepada jentera penerangan di seluruh Sabah.

Selain itu, pertandingan pidato turut akan dianjurkan bagi mencungkil bakat baharu dalam kalangan ahli parti untuk menyampaikan dasar dan hala tuju kerajaan dengan lebih berkesan.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles