Penduduk Sunsuron diseru terus sokong agenda pembangunan kerajaan GRS

TAMBUNAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus komited melaksanakan agenda pembangunan secara inklusif demi meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Datuk Victor P. Paut, berkata sokongan berterusan rakyat terhadap kerajaan negeri amat penting bagi mengekalkan kestabilan politik, sekali gus mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pembangunan, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat.

Menurutnya, kestabilan politik menjadi asas kepada kelancaran pelaksanaan dasar dan program pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Apabila politik stabil, pembangunan dapat diteruskan, ekonomi dapat diperkukuhkan dan kebajikan rakyat dapat diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Gotong-Royong Perdana Kampung Sunsuron, di sini, Sabtu.

Sehubungan itu, Victor menyeru penduduk Kampung Sunsuron agar terus memberikan sokongan kepada Kerajaan GRS demi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan.

“Kita tidak mahu politik yang memecah-belahkan masyarakat. Sebaliknya, kita mahukan politik yang menyatukan rakyat, memperjuangkan kepentingan kampung, membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda serta memastikan pembangunan sampai hingga ke akar umbi,” katanya.

Victor, yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, turut mengingatkan masyarakat supaya terus mempertahankan perpaduan serta tidak mudah terpengaruh dengan fitnah, hasutan atau penyebaran maklumat yang tidak sahih.

“Nilailah sesuatu berdasarkan fakta, hasil kerja dan pencapaian yang telah dibawa kepada rakyat.

“Saya yakin dengan sokongan padu masyarakat Tambunan, khususnya penduduk Kampung Sunsuron, agenda pembangunan yang dirancang oleh Kerajaan GRS akan terus memberi manfaat kepada generasi hari ini dan masa depan,” katanya.

Beliau turut menggesa penduduk agar terus menyemarakkan semangat perpaduan dan berganding bahu memajukan kampung masing-masing.

Menurutnya, pembangunan sesebuah kampung bermula daripada sikap dan komitmen penduduk sendiri, termasuk menjaga kebersihan persekitaran, memelihara kemudahan awam, menghormati jiran, membimbing anak-anak ke arah kecemerlangan pendidikan serta menjauhi gejala sosial.

Mengulas mengenai program gotong-royong, Victor berkata aktiviti berkenaan bukan sekadar usaha membersihkan kawasan kampung, sebaliknya menjadi lambang kerjasama, perpaduan dan semangat kejiranan dalam sesebuah komuniti.

“Kampung yang bersih mencerminkan masyarakat yang berdisiplin, manakala kampung yang indah menggambarkan penduduk yang bertanggungjawab. Kampung yang bersatu padu pula akan sentiasa dihormati dan mampu menghadapi apa jua cabaran.

“Saya yakin Kampung Sunsuron berpotensi menjadi sebuah kampung contoh yang bersih, maju, aman dan disegani,” katanya.

Turut hadir ADDO Tambunan, Daniel Dilliam; Pengerusi Program Gotong-Royong Perdana, Rider Gutang; Pemaju Mukim Sunsuron, Charles Siton; ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta pemimpin masyarakat setempat.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles