SANDAKAN: Gerakan Nasional Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) diyakini mampu menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh daya saing produk tempatan serta membawa lebih banyak jenama keluaran Sabah menembusi pasaran antarabangsa, selaras dengan aspirasi local to global yang digariskan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata aspirasi yang dibawa melalui JOM MALAYSIA selari dengan agenda pembangunan ekonomi negeri yang memberi penekanan kepada pertumbuhan mampan, inklusif dan berdaya saing melalui pemerkasaan usahawan tempatan serta peluasan akses pasaran.
Menurut beliau, JOM MALAYSIA bukan sekadar festival jualan atau platform mempromosikan produk tempatan, sebaliknya merupakan satu gerakan strategik yang menghimpunkan usahawan, kerajaan, pemain industri, institusi kewangan dan pengguna bagi membina ekosistem keusahawanan yang lebih kukuh.
“SMJ 2.0 dan JOM MALAYSIA berkongsi matlamat yang sama, iaitu memperkasa usahawan tempatan, meningkatkan nilai tambah produk dan perkhidmatan serta memperluaskan akses pasaran bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.
“Sinergi ini akan membentuk rantaian pembangunan yang menyeluruh, bermula daripada pemerkasaan usahawan dan pembangunan produk sehingga kepada peluasan pasaran, selaras dengan aspirasi local to global,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, ketika merasmikan Festival JOM MALAYSIA 2026 di Kompleks Sukan Sandakan, Sabtu.
Hajiji berkata, pemilihan Sabah sebagai antara lokasi penganjuran festival berkenaan mencerminkan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap potensi negeri ini sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi di Malaysia Timur.
Menurut beliau, Sabah bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian budaya, warisan dan sumber semula jadi, malah memiliki komuniti usahawan yang semakin berkembang dengan pelbagai produk tempatan bernilai komersial tinggi, termasuk makanan, kraftangan, fesyen serta produk kreatif dan inovasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau berkata, dengan anggaran populasi 3.8 juta penduduk dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM88.8 bilion yang mencatat pertumbuhan 5.1 peratus pada tahun lalu, Sabah kini muncul sebagai antara pasaran pengguna terbesar dan paling dinamik di Malaysia Timur.
Mengulas potensi produk Sabah di peringkat antarabangsa, Hajiji berkata pencapaian usahawan tempatan sepanjang tahun lalu membuktikan produk keluaran negeri ini mempunyai keupayaan untuk bersaing di pasaran global.
Beliau berkata, seramai 124 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah telah menyertai 18 ekspo perdagangan antarabangsa pada 2025 dan berjaya merekodkan potensi jualan berjumlah RM95.9 juta, meningkat 37.12 peratus berbanding RM60.4 juta pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa produk Sabah memiliki kualiti, keunikan dan daya saing untuk menembusi pasaran antarabangsa. Justeru, JOM MALAYSIA perlu dimanfaatkan sebagai platform yang membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan dan memperluaskan pasaran mereka,” katanya.
Bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan negeri, Hajiji berkata kerajaan Sabah melalui SMJ 2.0 melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk Program Bantuan SME-UP yang diterajui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) dengan peruntukan RM15 juta bagi membantu pembangunan 600 PMKS.
Selain itu, Program Sabah Ready-to-Eat (RTE) turut diperkenalkan bagi mengkomersialkan produk makanan tempatan menerusi penyediaan geran pembangunan, bantuan mesin retort dan sokongan pensijilan halal untuk meningkatkan kebolehpasaran produk.
Menurut Hajiji, kedua-dua inisiatif tersebut saling melengkapi aspirasi JOM MALAYSIA dalam melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing serta produk yang bersedia menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.
Hajiji berkata, sektor pelancongan memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi local to global, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Sabah Year 2027.
Beliau berkata, Sabah merekodkan 3.79 juta ketibaan pelawat dengan hasil pelancongan berjumlah RM8.74 bilion pada tahun lalu, sekali gus membuktikan sektor berkenaan mempunyai potensi besar sebagai platform mempromosikan produk dan perkhidmatan tempatan.
“Setiap festival, ekspo dan program promosi bukan sahaja menggalakkan pembelian produk tempatan, malah menjadi ruang memperkenalkan identiti Sabah kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
“Apabila pelancong menikmati makanan tempatan, membeli kraftangan, menggunakan perkhidmatan atau membawa pulang produk keluaran Sabah, mereka secara tidak langsung menjadi duta yang memperkenalkan jenama Sabah ke persada antarabangsa. Inilah aspirasi sebenar local to global yang ingin kita capai bersama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Kerajaan Negeri mempertimbangkan penganjuran Festival JOM MALAYSIA di lebih banyak lokasi strategik di Sabah sempena Visit Sabah Year 2027, bagi memperluaskan penyertaan usahawan tempatan serta memperkukuh promosi produk Sabah kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
