Pemuda, Beliawanis PGRS kecam kenyataan Senator Filipina berkaitan Sabah

KOTA KINABALU:Pergerakan Pemuda dan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) mengecam sekeras-kerasnya kenyataan seorang Senator Filipina yang menggesa agar tuntutan negara itu ke atas Sabah dihidupkan semula.

Pemangku Ketua Pemuda PGRS, Azrul Ibrahim, berkata kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab serta bercanggah dengan prinsip kedaulatan dan undang-undang antarabangsa.

Beliau menegaskan bahawa Sabah merupakan sebahagian daripada Malaysia yang berdaulat dan kedudukannya tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

“Sebarang cubaan mengaitkan Sabah dengan isu sumber minyak dan tenaga sebagai alasan untuk menghidupkan tuntutan lapuk adalah tidak berasas serta dilihat sebagai usaha mengalih perhatian daripada isu dalaman pihak tertentu.

“Sabah bukan komoditi untuk menyelesaikan masalah negara lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 Senator Robin Padilla

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Luar Malaysia mengambil tindakan sewajarnya termasuk membuat bantahan rasmi terhadap kenyataan berkenaan, selain meminta kerajaan Persekutuan terus memantau perkembangan isu tersebut bagi memastikan kedaulatan negara terpelihara.

Pada masa sama, Azrul menyeru rakyat Sabah agar kekal tenang, bersatu serta tidak terpengaruh dengan sebarang kenyataan luar yang boleh menimbulkan kekeliruan.

Sementara itu, Ketua Beliawanis PGRS, Emmie Datuk Martin Idang, turut menyuarakan pendirian tegas dengan menolak kenyataan berkenaan yang disifatkan tidak wajar serta berpotensi menjejaskan hubungan dua hala.

Menurut beliau, sebarang naratif yang cuba mempertikaikan kedaulatan Sabah adalah tidak boleh diterima sama sekali.

“Beliawanis PGRS menegaskan bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia yang berdaulat dan semua pihak perlu menghormati prinsip kedaulatan negara serta undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan kerajaan negeri dalam memastikan kestabilan politik, keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah terus terpelihara. Dalam pada itu, Emmie menyeru golongan belia, khususnya wanita muda di Sabah, agar terus bersatu dan memainkan peranan dalam mempertahankan kedaulatan negeri di samping menyokong agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles