Pembangunan dinikmati rakyat, bukti Kerja Keras pimpinan GRS di Liawan

KENINGAU:Kepimpinan di Liawan menegaskan prinsip “kerja dan cakap” “ bukan cakap saja”, dengan setiap pembangunan kampung dilaksanakan secara berterusan dan berasaskan keperluan sebenar rakyat, bukan hanya menjelang musim pilihan raya.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, berkata kempen yang dibawa oleh kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan berasaskan janji manis atau retorik, tetapi kepada rekod kerja nyata yang boleh dilihat dan dirasai oleh rakyat sendiri.

“Kita tidak datang untuk berjanji tinggi-tinggi atau berlumba siapa paling pandai bercakap.

Kita datang dengan kerja yang sudah berjalan, dengan bukti yang boleh dilihat sendiri oleh orang kampung,” katanya semasa perjumpaan santai bersama penduduk Kampung Keritan Laut di kediaman Raymond Jomi, semalam.

Beliau menegaskan, pembangunan di Liawan dilaksanakan secara terancang, berfasa dan menyeluruh, mengikut keperluan sebenar masyarakat setempat, bukan semata-mata kerana musim pilihan raya.

Antara fokus utama katanya, termasuk memastikan projek kampung dilaksanakan secara konsisten, menyiapkan projek tertangguh mengikut keutamaan, serta memastikan setiap inisiatif memberi kesan langsung kepada kesejahteraan keluarga dan masa depan generasi muda.

“Yang penting, kerja ini bukan kita buat masa pilihan raya saja.

Kita buat kerana ini kampung kita, ini keluarga kita, dan ini masa depan anak-anak kita,” ujarnya.

Perjumpaan itu turut membuka ruang kepada penduduk untuk mengemukakan pandangan, cadangan serta keperluan setempat, sekali gus memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles