Orang ramai dijemput hadir sambutan Aidilfitri Kerajaan Negeri di SICC Sabtu ini

BEAUFORT: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, pada Sabtu ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata sambutan yang berlangsung pada 28 Mac itu dijangka menarik kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung.

Beliau berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, majlis berkenaan akan bermula seawal jam 10 pagi dengan pelbagai pengisian menarik untuk semua lapisan masyarakat.

“Selain jamuan makanan, antara pengisian majlis termasuk penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan rumah kebajikan serta persembahan daripada artis tempatan Sabah.

“Sambutan ini menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

“Sehubungan itu, kita mengalu-alukan kehadiran orang ramai tanpa mengira latar belakang agama atau politik untuk bersama-sama memeriahkan majlis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Aman, di Kampung Bingkul, di sini, pada Isnin.

Menurut Arifin, sambutan tersebut turut menjadi manifestasi kesyukuran atas keamanan dan keharmonian yang dinikmati di Sabah, selain mencerminkan permulaan agenda pembangunan di bawah Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Majlis berkenaan akan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, serta Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bersama barisan kepimpinan negeri.

Dalam pada itu, sebanyak 71 vendor dan 15 hotel akan terlibat dalam penyediaan jamuan bagi memastikan kepelbagaian makanan kepada pengunjung.

Menurutnya, penglibatan vendor serta pengusaha kecil itu bukan sahaja membuka peluang ekonomi kepada usahawan tempatan, malah memastikan aspek keselamatan makanan dipatuhi.

Sementara itu, beliau turut menekankan konsep kesederhanaan dalam sambutan Aidilfitri selaras dengan saranan kerajaan Persekutuan agar masyarakat tidak berbelanja secara berlebihan. “Kita sambut secara sederhana, utamakan kesyukuran serta keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles