Koperasi tidak boleh bergantung model tradisional, perlu terus berinovasi: Hajiji

KOTA KINABALU: Gerakan koperasi di Sabah perlu berani melakukan transformasi perniagaan dengan meneroka sektor baharu dan mempelbagaikan sumber pendapatan bagi memastikan daya saing serta kelangsungan pertumbuhan dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, koperasi tidak lagi boleh bergantung kepada model perniagaan tradisional semata-mata, sebaliknya perlu terus berinovasi dan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi serta teknologi semasa.

Menurut beliau, transformasi perniagaan akan membuka peluang kepada koperasi untuk menembusi pasaran baharu, meningkatkan nilai tambah kepada anggota dan pelanggan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara lebih mampan.

“Kerajaan negeri amat menggalakkan koperasi memperkukuh tadbir urus, memperluaskan bidang perniagaan dan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang inklusif serta mampan.

“Saya yakin gerakan koperasi akan terus relevan dan menjadi penyumbang penting kepada pembangunan negeri sekiranya sentiasa bersedia berubah mengikut keperluan semasa,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Ke-49 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) serta melancarkan akhbar komuniti Kinabalu Media di sini, Khamis.

SAKSIKAN: Hajiji menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara KOPEKS dan rakan strategik sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-49 koperasi itu di Kota Kinabalu.

𝗞𝗢𝗣𝗘𝗞𝗦 𝗖𝗼𝗻𝘁𝗼𝗵 𝗞𝗲𝗷𝗮𝘆𝗮𝗮𝗻 𝗗𝗶𝘃𝗲𝗿𝘀𝗶𝗳𝗶𝗸𝗮𝘀𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗻𝗶𝗮𝗴𝗮𝗮𝗻
Hajiji berkata, KOPEKS wajar dijadikan contoh kerana berjaya mempelbagaikan aktiviti perniagaan daripada sektor kredit kepada bidang strategik seperti Ar-Rahnu, perkhidmatan kesihatan, pusat dialisis, pembangunan perumahan, import dan eksport serta penerbitan media komuniti.

Menurut beliau, penerbitan Kinabalu Media mencerminkan komitmen koperasi itu dalam memperkukuh budaya ilmu dan menyediakan platform penyampaian maklumat yang sahih kepada masyarakat.

“Dalam era digital yang berkembang pesat, media cetak masih memainkan peranan penting sebagai sumber maklumat yang mendalam, berkualiti dan berwibawa.

“Kerajaan negeri melihat media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat pembangunan serta memperkukuh perpaduan rakyat sejajar dengan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya.

𝗧𝗲𝗿𝗼𝗸𝗮 𝗦𝗲𝗸𝘁𝗼𝗿 𝗞𝗲𝘀𝗶𝗵𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗣𝗮𝘀𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗘𝗸𝘀𝗽𝗼𝗿𝘁
Hajiji turut menyambut baik langkah KOPEKS meneroka sektor kesihatan termasuk pengambilalihan beberapa klinik swasta dan perancangan menubuhkan pusat dialisis bagi memenuhi keperluan rawatan pesakit buah pinggang yang semakin meningkat di Sabah.

Beliau berkata, usaha koperasi meneroka bidang import dan eksport, khususnya ke Brunei Darussalam, juga merupakan strategi tepat dalam memperluaskan pasaran produk tempatan serta memperkukuh kerjasama ekonomi serantau.

𝗣𝗲𝗻𝗷𝗮𝘄𝗮𝘁 𝗔𝘄𝗮𝗺 𝗗𝗶𝗴𝗲𝘀𝗮 𝗦𝗲𝗿𝘁𝗮𝗶 𝗞𝗢𝗣𝗘𝗞𝗦
Hajiji merakamkan penghargaan kepada kepimpinan KOPEKS atas pencapaian kewangan yang memberangsangkan serta kejayaan mengekalkan pembayaran dividen kepada anggota secara konsisten sejak dua dekad lalu.

Beliau turut menggesa lebih ramai penjawat awam, khususnya generasi muda, untuk menyertai KOPEKS bagi memperkukuh kedudukannya sebagai model koperasi berjaya yang bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan anggota, malah menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah secara keseluruhan.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles