KOTA KINABALU:Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kini secara rasmi menjadi parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekali gus memperkukuh kedudukan gabungan parti-parti tempatan sebagai wadah utama memperjuangkan kepentingan dan pembangunan negeri.
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, penerimaan itu dimaklumkan kepadanya selepas permohonan rasmi keanggotaan yang dikemukakan pada 29 Mei lalu mendapat persetujuan sebulat suara Majlis Tertinggi GRS dalam mesyuarat yang berlangsung pada Khamis.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor serta seluruh kepimpinan GRS atas kepercayaan dan penerimaan yang diberikan kepada UPKO.
“Saya bersyukur dan berbesar hati dapat membawa UPKO ke tempat yang saya percaya merupakan rumah sebenar parti-parti tempatan Sabah, iaitu dalam gabungan parti-parti tempatan yang memperjuangkan masa depan negeri ini.
“Penyertaan ini juga mengembalikan semangat asal pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang menyaksikan parti-parti politik di Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu bergerak dalam kerangka kerjasama wilayah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
𝗣𝗲𝗿𝗷𝘂𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗸 𝗦𝗮𝗯𝗮𝗵 𝗱𝗶 𝗯𝗮𝘄𝗮𝗵 𝗠𝗔𝟲𝟯
Menurut Ewon, penyertaan UPKO dalam GRS selari dengan aspirasi memperkukuh peranan parti tempatan dalam menentukan hala tuju pembangunan Sabah serta mempertahankan hak-hak negeri yang termaktub dalam MA63.
Beliau berkata, parti-parti tempatan lebih memahami identiti, keperluan dan aspirasi rakyat Sabah, sekali gus berada pada kedudukan terbaik untuk memperjuangkan kepentingan negeri secara berkesan.
“Hanya parti-parti tempatan Sabah yang benar-benar memahami citra, realiti dan keperluan rakyat negeri ini dalam merancang masa depan yang lebih baik.
“GRS adalah satu-satunya gabungan yang diterajui sepenuhnya oleh parti-parti tempatan Sabah, dan saya percaya ia merupakan platform terbaik untuk memperjuangkan agenda Sabah First, Sabah Prosper dan Sabah United,” katanya.
𝗨𝗣𝗞𝗢 𝗞𝗼𝗺𝗶𝘁𝗲𝗱 𝗦𝘂𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗞𝗲𝘀𝘁𝗮𝗯𝗶𝗹𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶
Ewon berkata, UPKO komited memainkan peranan aktif dalam memperkukuh GRS serta menyumbang kepada usaha membangunkan negeri di bawah kepimpinan Hajiji.
Beliau berkata, parti itu akan terus bekerjasama dengan semua komponen GRS bagi memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan, sekali gus membolehkan agenda pembangunan negeri dilaksanakan dengan lebih berkesan demi manfaat rakyat. “Saya mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus bersatu di bawah semangat kerjasama parti-parti tempatan dalam GRS bagi membina masa depan negeri yang lebih makmur, progresif dan bersatu,” katanya.
