Kerajaan negeri perkasa inisiatif tangani kos sara hidup rakyat

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri terus melaksanakan pelbagai inisiatif bersasar bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup, khususnya sebelum berlakunya peningkatan harga minyak global dan gangguan rantaian bekalan tenaga akibat konflik di Asia Barat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pendekatan bersepadu yang dilaksanakan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, terutama golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya, antara bantuan kewangan utama ialah Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang menyediakan bantuan bulanan selama 12 bulan kepada kira-kira 100,000 penerima, dengan jumlah itu dijangka meningkat kepada 140,000 penerima melibatkan peruntukan RM339.16 juta.

“Inisiatif ini dilaksanakan selari dengan program bantuan Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Di Sabah, lebih 800,000 penerima mendapat manfaat daripada STR dan SARA dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.25 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang)pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai langkah bagi mengurangkan beban kos utiliti, termasuk Program Rebat Bil Elektrik RM40 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berdaftar dengan eKasih, selain diskaun 10 peratus bil elektrik kepada rumah kebajikan, rumah ibadah serta institusi pendidikan kerajaan dan separa kerajaan.

Katanya, diskaun 10 peratus turut diberikan kepada sektor pertanian, akuakultur dan perikanan bagi menyokong keterjaminan makanan serta kestabilan rantaian bekalan.

Selain itu, pelaksanaan Off-Peak Tariff Rider (OPTR) iaitu diskaun 20 peratus bagi penggunaan waktu bukan puncak diteruskan kepada pengguna komersial dan industri voltan rendah bagi mengurangkan kos operasi peniaga kecil.

“Kerajaan negeri juga menggalakkan amalan pertanian kendiri melalui program Kebun Dapur bagi membantu isi rumah menghasilkan bekalan makanan sendiri.

“Langkah ini bukan sahaja mengurangkan perbelanjaan harian, malah meningkatkan daya tahan isi rumah terhadap sebarang kejutan harga atau gangguan bekalan,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan produk tempatan turut digalakkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import selain merangsang permintaan domestik dan menyokong pertumbuhan industri tempatan.

Dalam usaha jangka sederhana dan panjang, katanya, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada aspek sekuriti makanan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dengan peruntukan RM102.86 juta bagi pelaksanaan projek keterjaminan makanan.

“Fokus utama adalah meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, ternakan dan perikanan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import serta meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL),” katanya.

Menurutnya, melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah, lima daerah dikenal pasti sebagai Lembah Pengeluaran Makanan iaitu Keningau, Tenom, Nabawan, Tongod dan Tambunan bagi mengoptimumkan pengeluaran makanan berskala besar.

Dalam pada itu, Hajiji menyeru rakyat agar mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemah serta berbelanja secara bijak bagi memastikan kestabilan bekalan dalam pasaran.

Katanya, kerajaan negeri turut menyokong langkah kerajaan Persekutuan mengekalkan harga bahan api bersubsidi serta terus menyuarakan kepentingan mengekalkan subsidi diesel di Sabah bagi mengawal kos pengangkutan dan mengelakkan peningkatan harga barangan.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles