KOTA KINABALU: Inovasi merupakan elemen penting dalam pengurusan serta pembaharuan organisasi bagi memastikan Gabungan Rakyat Sabah terus kukuh berdepan cabaran politik semasa.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kegagalan melaksanakan pembaharuan boleh menyebabkan sesebuah organisasi menjadi lemah, tidak berkembang dan akhirnya kehilangan relevansi.
“Perancangan masa depan parti perlu diberi keutamaan, termasuk usaha melahirkan pelapis kepimpinan yang berkualiti dan berwibawa,” katanya ketika berucap pada Taklimat Khas kepada Ahli Majlis Tertinggi, Exco-Exco sayap parti dan Ketua-Ketua Bahagian, di sini, pada Sabtu.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah berkata, pengurusan parti yang tersusun amat penting bagi memastikan struktur kepimpinan di semua peringkat, termasuk akar umbi, kekal kukuh dan berfungsi secara efektif.
Menurutnya, pendekatan kepimpinan berpasukan perlu dijadikan asas dalam penstrukturan parti, berbanding bergantung kepada individu semata-mata.
“Setiap bahagian perlu bergerak sebagai satu pasukan kepimpinan yang bersatu bagi memperkukuh organisasi parti secara keseluruhan,” katanya.
Masidi berkata, perancangan rapi, inovasi berterusan serta kepimpinan yang mantap akan memastikan parti lebih bersedia menghadapi pilihan raya akan datang.
“Pembaharuan dan inovasi dalam pengurusan parti mesti menjadi proses berterusan bagi memastikan parti kekal relevan dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pemimpin dan ahli parti supaya mengambil iktibar daripada kejatuhan beberapa parti politik terdahulu akibat kegagalan melaksanakan pembaharuan dalam kepimpinan dan pengurusan.
