Kerajaan negeri pantau rapi situasi banjir di beberapa daerah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memberi jaminan bahawa situasi banjir di beberapa kawasan terjejas di negeri ini sedang dipantau rapi melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera dan berkesan kepada mangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, semua aset dan sumber berkaitan telah digerakkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) untuk melaksanakan operasi bantuan, pemindahan serta pemantauan berterusan di kawasan terjejas.

“Saya telah mengarahkan JPBN supaya mengaktifkan sepenuhnya jentera pengurusan bencana bagi memastikan keperluan asas mangsa dapat disalurkan dengan pantas dan teratur, selain memastikan keselamatan penduduk sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah beramah mesra serta menyantuni mangsa kebakaran ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sembulan.

Menurut JPBN, setakat ini seramai 336 individu daripada 111 keluarga telah dipindahkan ke lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di daerah Kota Marudu dan Pitas susulan paras air yang meningkat.

JPBN turut memaklumkan bahawa pemantauan berterusan sedang dijalankan di beberapa kawasan lain termasuk Sandakan dan Paitan, berikutan cuaca tidak menentu yang dijangka berlarutan.

Sehubungan itu, Ketua Menteri menasihati penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko tinggi supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa, selaras amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri turut menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa bencana lain apabila menyalurkan sumbangan kepada 16 individu yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Tanjung Aru pada 18 Februari lalu.

Datuk Ir. Shahelmey Yahya menyampaikan sumbangan bantuan kepada salah seorang mangsa kebakaran Kampung Tanjung Aru sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan mangsa terjejas.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, bersama Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), Datuk Diyanah Abdullah, kepada mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Sembulan.

Kerajaan Negeri menegaskan komitmen untuk terus memperkasa kesiapsiagaan bencana serta memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan dalam situasi kecemasan.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles