KOTA KINABALU: Datuk Julita Majungki berkata Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKS) akan memperkukuh penyelarasan antara jabatan dan agensi di bawah kementerian itu bagi memastikan matlamat serta sasaran yang digariskan dalam Rangka Tindakan Wanita Sabah 2026–2035 dapat dicapai secara berkesan.
Menurut beliau, usaha lebih tersusun dan bersepadu perlu dilaksanakan bagi meningkatkan penyertaan wanita serta merapatkan jurang sedia ada khususnya dalam bidang yang masih belum mencapai sasaran dasar kuota 30 peratus.
“Penyertaan wanita bukanlah tidak wujud atau sifar, namun masih banyak yang perlu dipertingkatkan terutama dalam bidang politik dan pembuatan keputusan di peringkat tertinggi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta hingga ke peringkat akar umbi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), majlis daerah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
“Ini memerlukan usaha bersama semua entiti di bawah kementerian bagi memastikan segala perancangan dan sasaran yang dirangka dapat dicapai dengan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai Rangka Tindakan Wanita Sabah di Wisma IDS, pada Selasa.
Rangka tindakan yang dikaji dan dirangka oleh Institute for Development Studies (IDS) Sabah itu memberi tumpuan kepada strategi dan inisiatif memperkasa wanita Sabah supaya dapat menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negeri.
Julita berkata, beberapa dasar dan langkah yang terkandung dalam rangka tindakan berkenaan telah mula dilaksanakan, namun kementerian akan terus meneliti aspek yang masih perlu diperkasa dan ditambah baik.

“Sebagai contoh, usaha melantik lebih ramai wanita sebagai pembuat keputusan dalam pihak berkuasa tempatan. Kerajaan telah mengeluarkan arahan dan pekeliling supaya penyertaan wanita dalam pembuatan keputusan di peringkat akar umbi seperti PBT, majlis daerah, JKKK dan Ketua Kampung dapat ditingkatkan,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui bahawa faktor budaya dan persepsi komuniti masih menjadi antara cabaran utama dalam meningkatkan penglibatan wanita di peringkat akar umbi.
“Ada komuniti yang masih beranggapan lelaki lebih sesuai memegang jawatan seperti Ketua Kampung. Ini melibatkan nilai budaya dan memerlukan masa serta pendekatan konsultasi yang berterusan.
“Namun, usaha meningkatkan kesedaran perlu dipergiat supaya lebih banyak peluang diberikan kepada wanita untuk terlibat dalam kepimpinan komuniti,” katanya.
Taklimat tersebut turut mendedahkan bahawa tahap perwakilan wanita Sabah dalam politik masih rendah apabila hanya tiga wanita mewakili 25 kerusi Parlimen di Sabah atau bersamaan 12 peratus.
Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pula, wanita hanya mewakili 8.86 peratus iaitu tujuh daripada 73 ADUN termasuk enam ADUN lantikan.
Bagi jawatan Kabinet, tiada wanita Sabah dilantik sebagai menteri di peringkat Persekutuan, manakala di peringkat negeri hanya 10 peratus jawatan menteri dan 11 peratus jawatan pembantu menteri diwakili wanita.
Data turut menunjukkan wanita hanya mewakili lapan peratus jawatan pegawai daerah daripada 26 daerah di Sabah bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Selain itu, wanita hanya mengisi empat peratus jawatan pegawai eksekutif dalam kepimpinan PBT dan 18 peratus sebagai ahli majlis PBT daripada keseluruhan 481 ahli di seluruh negeri.
Peratusan wanita yang memegang jawatan Pengerusi JKKK di Sabah bagi tempoh 2022 hingga 2024 pula hanya 17.01 peratus.
Turut hadir Pengerusi IDS Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, Ketua Pegawai Eksekutif IDS Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) Datuk Fauziah Abu Bakar Titingan serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Puan Haslina Ismail.
