KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) strategik antara Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC) dan rakan industri antarabangsa bagi cadangan pembangunan hab tenaga di Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP), di Menara Kinabalu, hari ini.
Majlis itu diadakan sempena kunjungan hormat delegasi SOGDC yang diketuai Pengerusinya,Datuk Shahelmey Yahya bersama Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Mohd Azmir Ramli serta ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan.
Dalam pertemuan itu, Hajiji dan Shahelmey turut menyaksikan pertukaran MoU antara SOGDC dengan beberapa rakan industri termasuk ACWA Power, Aboitiz Power Ltd, WEC serta EA Gibson, yang merangka kerjasama awal bagi pembangunan projek Hab Tenaga SOGIP.
Menurut SOGDC, cadangan pembangunan berkenaan melibatkan kawasan seluas kira-kira 275 ekar yang merangkumi pembinaan hab penyimpanan dan pengagihan tenaga bersepadu, termasuk kemudahan penyimpanan gas asli cecair (LNG), ammonia dan hidrogen, selain pembangunan infrastruktur petrokimia serta penjanaan tenaga.
Sebagai komponen utama projek, kajian kebolehlaksanaan akan dilaksanakan bersama ACWA Power bagi pembinaan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti antara 400 hingga 500 megawatt (MW).
Selain itu, Aboitiz Power Ltd akan meneliti pembangunan sistem grid penghantaran tenaga, manakala WEC mempertimbangkan pembinaan jeti serta tangki simpanan.
Dalam perkembangan sama, Saudi Aramco turut menyatakan minat awal untuk menyertai projek berkenaan sebagai rakan strategik serta pembekal utama LNG bagi hab tenaga itu.
Hajiji berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa sektor tenaga sebagai pemacu utama ekonomi Sabah.
“Kerajaan negeri menyambut baik cadangan pembangunan hab tenaga ini kerana ia berpotensi menarik pelaburan berkualiti tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan industri hiliran di Sabah.
“Kita komited menyediakan persekitaran kondusif kepada pelabur, di samping memastikan setiap pembangunan memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negeri,” katanya.
Menurutnya, pembangunan SOGIP sebagai hab tenaga bersepadu akan memperkukuh daya saing Sabah dalam industri minyak dan gas serta meningkatkan kapasiti infrastruktur tenaga negeri.
Turut hadir wakil rakan strategik antarabangsa termasuk Ketua Pegawai Operasi Aboitiz, Anton Perdises; Ketua Pegawai Eksekutif Negara ACWA, Matthew Chandapillai; Pengarah EA Gibson, Owen Bolton; Pengarah Eksekutif WEC, Mathew Lee; Pengarah Eksekutif Green Parrot (Abu Dhabi), Miran Sepich; serta Pengarah Projek Gas EA Gibson, Tonci Tokic.
