KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.
Mesyuarat itu menghimpunkan barisan kepimpinan utama parti-parti komponen GRS bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan agenda gabungan serta hala tuju politik semasa.
Antara pemimpin yang hadir ialah Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan), Tan Sri Liew Yun Fah; Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Senator Tan Sri Anifah Aman; dan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin.
Turut hadir Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun; Ketua Pemuda GRS, Datuk Jonnybone J Kurum; Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai serta Ahli-ahli Majlis Tertinggi gabungan itu.
Mesyuarat berkenaan turut mencerminkan semangat kerjasama dan kesepaduan dalam kalangan parti komponen GRS dalam memperkukuh kestabilan politik serta meneruskan agenda pembangunan negeri.
