KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menghadiri Majlis Mengucapkan Selamat Berangkat kepada Jemaah Haji Negeri Sabah bagi Musim Haji 1447H/2026M di Dewan Kinabatangan III, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Isnin.
Majlis penuh bermakna itu dimulakan dengan alunan zikir Asma’ul Husna serta bacaan doa yang dipimpin Mufti Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar.
Acara kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan wakil pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) serta perutusan khas Tun Musa kepada para jemaah haji yang bakal berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji musim ini.

Majlis turut disusuli dengan sesi bersalaman Yang di-Pertua Negeri bersama para jemaah selepas laungan azan.
Bagi musim haji 1447H/2026M, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan keseluruhan 1,195 jemaah haji terdiri daripada 507 lelaki dan 688 wanita.
Pada penerbangan hari ini, seramai 142 bakal haji berlepas dari Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menjalani proses Makkah Route sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab serta Pengarah Eksekutif Pengalaman Pelanggan TH, Datuk Mohamed Ameen Abdul Wahab.
