Hajiji gesa penduduk kawasan rendah berwaspada, patuhi arahan pihak berkuasa

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengarahkan Pusat Kawalan Bencana Negeri bersama semua agensi berkaitan supaya memantau secara rapi perkembangan banjir di Tawau yang telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana susulan hujan lebat berterusan sejak Jumaat.

Beliau berkata, semua agensi berkaitan telah digerakkan ke kawasan yang terjejas bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera kepada mangsa.

“Semua agensi berkaitan telah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas.

“Saya mahu mereka bersiap siaga untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hajiji turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa, khususnya berkaitan pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS), demi keselamatan mereka.

Beliau berkata, setakat ini keadaan banjir masih terkawal dengan semua agensi penyelamat, keselamatan dan kebajikan berada di lapangan bagi menyelaras operasi bantuan serta memantau situasi semasa.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau mengisytiharkan Tawau sebagai kawasan bencana pada jam 8.30 pagi selepas hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

Antara kawasan yang terjejas ialah Tanjung Batu Keramat, Taman Ria 1, Taman Hot Spring, Taman Sunshu dan Taman Sri Balung.

Jawatankuasa berkenaan kini sedang mengumpulkan maklumat mengenai jumlah sebenar mangsa yang terjejas bagi tujuan penyelarasan bantuan dan pemindahan ke PPS sekiranya keadaan memerlukan.

Sehingga jam 11.00 pagi, sebuah PPS telah dibuka di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau, yang menempatkan 96 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 335 mangsa.

Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan segala keperluan mangsa banjir diselaraskan dengan segera melalui kerjasama semua agensi yang terlibat.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles