GRS pertimbang beri laluan tidak bertanding PRK Kinabatangan, Lamag

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang meneliti kemungkinan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) serentak bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang dijadualkan pada 24 Januari depan.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan, namun prinsip asas gabungan adalah untuk memberi laluan demi kestabilan politik serta kepentingan rakyat.

“Itulah yang kita akan bincangkan. Belum dapat dipastikan lagi, tetapi pada prinsipnya, kita bersedia untuk memberi laluan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Selasa di sini.

Hajiji menjelaskan bahawa sebarang keputusan muktamad akan dibuat melalui rundingan dan persetujuan semua parti dalam gabungan, selaras dengan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan Sabah.

“Setakat ini, kemungkinan besar kita tidak akan bertanding. Kita akan memberi penghormatan dan laluan kepada parti yang memenangi kerusi tersebut, apatah lagi mereka merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri ketika ini.

“Kita juga bersedia membantu rakan parti supaya mereka dapat memenangi pilihan raya kecil berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Hajiji menegaskan bahawa keputusan akhir hanya akan dibuat selepas perbincangan lanjut di peringkat kepimpinan tertinggi gabungan.

“Nanti saya akan berbincang dengan Presiden UMNO dan juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) bagi mendapatkan kata sepakat berhubung perkara ini,” katanya.

Kekosongan kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag berlaku susulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia pada 5 Disember lalu.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles