GRS Keningau kecam pihak manipulasi nama Robert Tawik dalam kenyataan palsu

KENINGAU:Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Keningau Station, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles, mengecam tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang didakwa menggunakan nama Datuk Robert Tawik untuk mengeluarkan kenyataan palsu bagi mengelirukan rakyat dan penyokong politik di Sabah.

Beliau berkata, tindakan itu jelas bermotif jahat serta tidak beretika kerana berpotensi menggugat keharmonian politik negeri menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah yang akan datang.

Bekas Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Robert Tawik

“Saya menyokong penuh kenyataan Datuk Robert Tawik yang menafikan sekeras-kerasnya kenyataan palsu menggunakan namanya tanpa kebenaran.

Perbuatan seperti ini bukan sahaja mengelirukan ahli STAR dan penyokong GRS, tetapi juga mencerminkan kejatuhan nilai etika sesetengah pihak,” katanya dalam kenyataan di sini.

Yazid menjelaskan bahawa Robert, yang juga mantan Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), telah menarik diri daripada parti berkenaan dan kini memilih untuk kekal menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Sebagai penyokong GRS, Datuk Robert berhak menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri serta agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan di bawah kerajaan negeri,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pihak agar menghormati keadaan kesihatan Robert yang masih dalam proses pemulihan dan tidak membebankan beliau dengan tekanan politik yang tidak perlu.

“Datuk Robert tidak wajar dijadikan alat permainan politik. Berilah beliau ruang untuk terus menyumbang kepada negeri melalui landasan politik yang beliau pilih,” ujarnya.

Yazid turut mengingatkan mana-mana individu supaya tidak berlindung di sebalik nama pemimpin lain bagi mengeluarkan kenyataan politik.

“Jika ingin bersuara, lakukanlah dengan jujur atas nama sendiri, bukan dengan memanipulasi nama orang lain demi kepentingan peribadi,” katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa keamanan dan kestabilan politik Sabah perlu terus dijaga agar rakyat dapat menikmati manfaat pembangunan yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan GRS.

Terdahulu, Robert dalam kenyataan medianya semalam mengesahkan bahawa kenyataan palsu menggunakan namanya telah disebarkan kepada media dan orang ramai tanpa kebenaran.

“Kenyataan itu adalah palsu dan langsung tidak mewakili pendirian saya. Saya kekal menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah,” kata Robert.

Beliau turut mengulangi seruannya kepada ahli dan penyokong STAR agar terus memberi sokongan kepada GRS demi mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan negeri menjelang PRU DU Sabah.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles