TAMBUNAN:Seramai hampir 500 ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dari Mukim Monsorulung dan Mukim Lintuhun mengambil keputusan meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tambunan dalam satu majlis yang berlangsung di Kampung Tikolod, di sini, Sabtu.
Penyerahan borang keahlian baharu itu diterima Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Dato’ Victor P. Paut, yang menyifatkan perkembangan tersebut sebagai manifestasi keyakinan rakyat terhadap hala tuju dan kepimpinan parti.
Mewakili kumpulan dari Mukim Monsorulung, bekas pemimpin Wiramuda STAR, Jaibie Joseph berkata, keputusan menyertai Gagasan Rakyat dibuat selepas menilai keperluan kepada sebuah kepimpinan yang berwawasan serta mampu menjamin kestabilan politik dan pembangunan yang berterusan.
Menurutnya, walaupun lazimnya penghijrahan ahli berlaku menjelang pilihan raya, kumpulan mereka memilih untuk membuat keputusan itu selepas pilihan raya kerana yakin dengan hala tuju perjuangan yang dibawa oleh Gagasan Rakyat.
Sementara itu, wakil Mukim Lintuhun, Jackly Jamari berkata, sudah tiba masanya bekas anggota STAR di kawasan berkenaan menyertai sebuah perjuangan yang lebih konsisten demi masa depan rakyat dan pembangunan negeri.

“Kepimpinan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta kepimpinan Victor di peringkat bahagian telah meyakinkan kami untuk bersama-sama memperkukuh parti ini,” katanya.
Dalam majlis berkenaan, Victor menyarungkan baju rasmi Gagasan Rakyat kepada wakil-wakil kumpulan sebagai simbolik penyertaan mereka ke dalam parti sebelum menyerahkan borang keahlian kepada Setiausaha Bahagian untuk tindakan lanjut. Majlis itu turut diserikan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada peserta Kursus Ternakan Ulat Sagu (Butod) serta penyerahan watikah pelantikan kepada anggota Gagasan Rakyat Tambunan yang dilantik memegang jawatan dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Victor berkata, kemasukan ahli-ahli baharu itu akan terus memperkukuh jentera parti di peringkat akar umbi dan membantu memperluaskan agenda pembangunan serta perjuangan Gagasan Rakyat di Tambunan.
