Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Gagasan Rakyat Tambunan kukuh dengan tambahan hampir 500 ahli baharu

KEYAKINAN BAHARU: Sebahagian daripada hampir 500 bekas ahli STAR dari Mukim Monsorulung dan Mukim Lintuhun yang memilih menyertai Gagasan Rakyat Tambunan selepas menilai keperluan kepada kepimpinan yang berwawasan dan menjamin kestabilan politik negeri.

TAMBUNAN:Seramai hampir 500 ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dari Mukim Monsorulung dan Mukim Lintuhun mengambil keputusan meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tambunan dalam satu majlis yang berlangsung di Kampung Tikolod, di sini, Sabtu.

Penyerahan borang keahlian baharu itu diterima Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Dato’ Victor P. Paut, yang menyifatkan perkembangan tersebut sebagai manifestasi keyakinan rakyat terhadap hala tuju dan kepimpinan parti.


Mewakili kumpulan dari Mukim Monsorulung, bekas pemimpin Wiramuda STAR, Jaibie Joseph berkata, keputusan menyertai Gagasan Rakyat dibuat selepas menilai keperluan kepada sebuah kepimpinan yang berwawasan serta mampu menjamin kestabilan politik dan pembangunan yang berterusan.

Menurutnya, walaupun lazimnya penghijrahan ahli berlaku menjelang pilihan raya, kumpulan mereka memilih untuk membuat keputusan itu selepas pilihan raya kerana yakin dengan hala tuju perjuangan yang dibawa oleh Gagasan Rakyat.

Sementara itu, wakil Mukim Lintuhun, Jackly Jamari berkata, sudah tiba masanya bekas anggota STAR di kawasan berkenaan menyertai sebuah perjuangan yang lebih konsisten demi masa depan rakyat dan pembangunan negeri.

SIMBOLIK PENYERTAAN: Victor menyarungkan baju rasmi Gagasan Rakyat kepada wakil kumpulan sebagai simbolik kemasukan hampir 500 ahli baharu ke dalam parti pada majlis yang berlangsung di Kampung Tikolod, Tambunan.

“Kepimpinan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta kepimpinan Victor di peringkat bahagian telah meyakinkan kami untuk bersama-sama memperkukuh parti ini,” katanya.


Dalam majlis berkenaan, Victor menyarungkan baju rasmi Gagasan Rakyat kepada wakil-wakil kumpulan sebagai simbolik penyertaan mereka ke dalam parti sebelum menyerahkan borang keahlian kepada Setiausaha Bahagian untuk tindakan lanjut. Majlis itu turut diserikan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada peserta Kursus Ternakan Ulat Sagu (Butod) serta penyerahan watikah pelantikan kepada anggota Gagasan Rakyat Tambunan yang dilantik memegang jawatan dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Victor berkata, kemasukan ahli-ahli baharu itu akan terus memperkukuh jentera parti di peringkat akar umbi dan membantu memperluaskan agenda pembangunan serta perjuangan Gagasan Rakyat di Tambunan.

Exit mobile version