Data berkualiti kunci kejayaan SMJ 2.0,Jonnybone tegaskan kepentingan banci ekonomi 2026

KOTA KINABALU: Ketepatan dasar pembangunan Sabah pada masa hadapan bergantung besar kepada sejauh mana lengkap dan terkininya data ekonomi negeri, dan inilah sebabnya Banci Ekonomi 2026 dilihat sebagai instrumen yang amat penting dalam memperkukuh pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Dr. Jonnybone J. Kurum berkata, perancangan pembangunan yang berkesan hanya boleh dicapai apabila kerajaan mempunyai akses kepada data yang tepat dan lengkap, membolehkan setiap keputusan dasar dibuat berasaskan fakta dan bukan andaian.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026 pada Khamis di sini.

“Kejayaan pelaksanaan SMJ 2.0 amat bergantung kepada ketersediaan data yang berkualiti. Data ini membolehkan kerajaan mengenal pasti sektor berpotensi tinggi, merancang strategi pembangunan secara lebih berkesan serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara inklusif,” katanya.

𝗦𝗮𝘀𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗞𝗗𝗡𝗞 𝗥𝗠𝟭𝟬𝟬 𝗕𝗶𝗹𝗶𝗼𝗻 𝗠𝗲𝗻𝗷𝗲𝗹𝗮𝗻𝗴 𝟮𝟬𝟯𝟬
Menurut Jonnybone, data yang diperoleh daripada banci itu turut menjadi pemangkin kepada sasaran kerajaan negeri untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah melebihi RM100 bilion menjelang tahun 2030.

Beliau berkata, Banci Ekonomi 2026 akan menyediakan gambaran menyeluruh mengenai landskap ekonomi Sabah, sekali gus menyokong proses perancangan, pelaksanaan dan pemantauan pelbagai inisiatif di bawah SMJ 2.0.

𝗟𝗲𝗯𝗶𝗵 𝟲𝟬 𝗣𝗲𝗿𝗮𝘁𝘂𝘀 𝗱𝗮𝗿𝗶𝗽𝗮𝗱𝗮 𝟵𝟬,𝟬𝟬𝟬 𝗣𝗲𝗿𝘁𝘂𝗯𝘂𝗵𝗮𝗻 𝗦𝘂𝗱𝗮𝗵 𝗗𝗶𝗯𝗮𝗻𝗰𝗶𝗸𝗮𝗻
Jonnybone berkata, setakat ini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Sabah telah melengkapkan bancian terhadap lebih 60 peratus daripada kira-kira 90,000 pertubuhan yang disasarkan, meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian.

Beliau berkata, Fasa 1 bancian yang melibatkan perusahaan mikro telah dilaksanakan dari Januari hingga Mac lalu, manakala Fasa 2 dan Fasa 3 yang melibatkan perusahaan besar, sederhana dan kecil sedang berlangsung dari April hingga September tahun ini.

𝗞𝗲𝗿𝗷𝗮𝘀𝗮𝗺𝗮 𝗣𝗲𝗻𝘂𝗵 𝗞𝗼𝗺𝘂𝗻𝗶𝘁𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗻𝗶𝗮𝗴𝗮𝗮𝗻 𝗗𝗶𝗴𝗲𝘀𝗮
Sehubungan itu, Jonnybone menyeru komuniti perniagaan, pemain industri serta badan profesional agar terus memberikan kerjasama penuh kepada DOSM bagi memastikan kadar respons yang tinggi dan data yang dikumpulkan benar-benar mencerminkan keadaan ekonomi semasa negeri.

Beliau turut memberi jaminan bahawa semua maklumat yang dikemukakan responden dilindungi sepenuhnya di bawah peruntukan undang-undang, dengan aspek kerahsiaan sentiasa menjadi keutamaan sepanjang pelaksanaan banci. Turut hadir Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dan Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sabah, Khairolnizam Hassan.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles