KUALA LUMPUR:Kadar pengangguran di Sabah yang menunjukkan trend penurunan tidak seharusnya menjadi alasan untuk berpuas hati, sebaliknya kerajaan perlu terus memperkukuh perancangan strategik bagi merapatkan jurang antara kemahiran pencari kerja dan keperluan industri semasa.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, menggesa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperkukuh pendekatan strategik berkenaan, khususnya bagi memastikan lebih ramai rakyat — terutamanya belia dan graduan — memperoleh peluang pekerjaan yang selaras dengan keperluan ekonomi semasa.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di Dewan Rakyat, Khamis.
“Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah sedang giat melaksanakan program padanan pekerjaan dan Jelajah Pendidikan Perburuhan di seluruh negeri.
“Cabaran utama ketika ini ialah jurang antara kemahiran pencari kerja, khususnya belia dan graduan, dengan keperluan industri digital serta sektor bernilai tinggi yang sedang berkembang di Sabah,” katanya.
𝗞𝗮𝗱𝗮𝗿 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗻𝗴𝗴𝘂𝗿𝗮𝗻 𝗦𝗮𝗯𝗮𝗵 𝗦𝘂𝘀𝘂𝘁 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮 𝟱.𝟱 𝗣𝗲𝗿𝗮𝘁𝘂𝘀
Matbali berkata, berdasarkan laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang diterbitkan pada Mei/Jun 2026, pasaran buruh di Sabah terus menunjukkan trend pemulihan yang memberangsangkan.
Menurut beliau, kadar pengangguran di Sabah bagi suku pertama 2026 menurun kepada 5.5 peratus, berbanding 6.0 peratus pada suku keempat 2025.
“Selepas mencatat kadar pengangguran sebanyak 8.2 peratus pada 2021 susulan pandemik COVID-19, angka itu terus menurun kepada 7.6 peratus pada 2024, sebelum berkurang kepada 6.0 peratus pada suku keempat 2025 dan 5.5 peratus pada suku pertama tahun ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kadar itu masih lebih tinggi berbanding purata nasional sekitar 2.9 peratus, walaupun penurunan yang dicatatkan membuktikan langkah pemulihan ekonomi dan pembangunan tenaga kerja mula menunjukkan hasil.
𝗦𝗼𝗸𝗼𝗻𝗴 𝗥𝗨𝗨 𝗦𝗶𝘀𝘁𝗲𝗺 𝗜𝗻𝘀𝘂𝗿𝗮𝗻𝘀 𝗣𝗲𝗸𝗲𝗿𝗷𝗮𝗮𝗻
Dalam pada itu, Matbali menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), yang menurutnya berperanan sebagai jaringan keselamatan sosial bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan.
Beliau berkata, pelaksanaan SIP melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membuktikan komitmen kerajaan dalam melindungi kebajikan pekerja yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan, selain membantu mereka kembali memasuki pasaran buruh.
“Rang undang-undang ini diyakini mampu memperkukuh sistem perlindungan sosial negara serta memberi jaminan yang lebih baik kepada golongan pekerja,” katanya.
