Beliawanis Moyog sokong penstrukturan PGRS, langkah strategik perkukuh jentera PRU-16

KOTA KINABALU:Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Moyog menyifatkan cadangan penstrukturan semula parti daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian sebagai satu langkah strategik yang tepat dalam memperkukuh kekuatan organisasi serta kesiapsiagaan jentera parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Ketua Beliawanis PGRS Bahagian Moyog, Carmen Meldan, berkata langkah tersebut bukan sekadar penyusunan semula struktur, tetapi mencerminkan kesungguhan kepimpinan parti untuk bergerak secara lebih tersusun, fokus dan berimpak tinggi dalam landskap politik yang semakin mencabar.

Menurut beliau, penyusunan berasaskan kawasan Parlimen akan menjadikan gerak kerja parti lebih terarah, sekali gus memperkukuh keupayaan jentera dalam mendekati rakyat serta menyampaikan agenda pembangunan kerajaan secara lebih berkesan.

“Ini bukan sekadar perubahan struktur, tetapi satu ‘reset strategik’ untuk memastikan PGRS lebih bersedia, lebih tersusun dan lebih berdaya saing dalam menghadapi PRU-16.

“Struktur yang lebih kemas akan mempercepatkan penyelarasan gerak kerja parti serta meningkatkan keberkesanan penyampaian mesej di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa Beliawanis memainkan peranan penting sebagai penggerak utama di lapangan, khususnya dalam mendekati golongan wanita muda yang menjadi antara segmen penting dalam landskap pengundi masa kini.

“Beliawanis bukan sekadar penyampai mesej parti, tetapi juga jambatan yang menghubungkan suara rakyat dengan kepimpinan.

“Peranan ini amat penting dalam memastikan parti kekal relevan, responsif dan dekat dengan rakyat,” katanya.

Carmen turut menyatakan bahawa penstrukturan ini selari dengan aspirasi PGRS untuk terus menjadi tunjang kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di samping mengekalkan kestabilan politik yang menjadi asas kepada pembangunan Sabah.

Sehubungan itu, Beliawanis Moyog menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan penstrukturan tersebut serta komited untuk memperkukuh kesiapsiagaan jentera di semua peringkat. “Fokus kita jelas, iaitu memperkukuh organisasi, memperkemas gerak kerja dan memastikan jentera parti berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi menjelang PRU-16,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles