KOTA KINABALU: Pembentangan Belanjawan Sabah 2026 membuktikan keupayaan Kerajaan Negeri mengurus kewangan secara berhemah, berdisiplin dan mampan, sambil terus mengutamakan pembangunan serta kebajikan rakyat, kata Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan, Datuk Mazlan @ Joehari Manan.
Beliau berkata belanjawan berjumlah RM6.402 bilion dengan Anggaran Hasil RM6.430 bilion yang merekodkan lebihan RM28 juta mencerminkan kestabilan fiskal negeri serta pengurusan kewangan yang berada di landasan tepat.
“Lebihan belanjawan ini jelas menunjukkan keupayaan kerajaan negeri menampung keperluan pembangunan tanpa mengabaikan kebajikan rakyat, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap pengurusan fiskal negeri,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mazlan berkata keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan asas rakyat terserlah apabila Kementerian Kerja Raya dan Utiliti menerima peruntukan besar iaitu RM1.122 bilion bagi Perbelanjaan Perbekalan dan RM534.28 juta bagi Perbelanjaan Pembangunan.
Menurutnya, peruntukan itu akan dimanfaatkan bagi pelaksanaan projek menaik taraf jalan kampung, jalan pertanian serta penambahbaikan sistem bekalan air luar bandar yang telah lama menjadi keutamaan rakyat di peringkat akar umbi.
Dalam aspek kebajikan rakyat, Mazlan berkata kerajaan negeri kekal komited menoktahkan kemiskinan tegar menerusi pelaksanaan Model Menoktahkan Kemiskinan Tegar Negeri Sabah, yang memberi tumpuan kepada lima intervensi utama meliputi perumahan, pekerjaan, pendidikan, kebajikan dan kewangan, serta keusahawanan dan latihan.
“Sejajar dengan pendekatan itu, Program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR) yang menyediakan bantuan tunai RM300 sebulan kepada 100,000 penerima diteruskan dalam Belanjawan 2026 sebagai instrumen penting untuk meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata pelbagai skim bantuan kebajikan lain turut diteruskan bagi golongan berpendapatan rendah, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan kanak-kanak, sekali gus memperkukuh jaringan perlindungan sosial secara lebih bersasar.
Mazlan turut menyambut baik penerusan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan penambahan kuota daripada 40 unit kepada 50 unit bagi setiap DUN pada tahun 2026.
Katanya, tambahan 10 unit rumah yang dikhususkan kepada golongan muda berumur 40 tahun ke bawah yang berkeluarga dan belum memiliki rumah sendiri merupakan langkah progresif dan inklusif kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri juga bercadang melaksanakan kajian pemberian Bantuan Subsidi Bayaran Deposit Rumah Pertama kepada golongan muda yang berpendapatan rendah bagi membantu mereka memiliki kediaman sendiri secara lebih mampan,” katanya.
Mengulas pembangunan modal insan, Mazlan berkata peruntukan RM186.54 juta bagi Perbelanjaan Perbekalan dan RM18.18 juta bagi Perbelanjaan Pembangunan kepada Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi membuktikan kesungguhan kerajaan negeri melabur dalam sektor pendidikan sebagai asas pembangunan jangka panjang Sabah.
Beliau berkata keseluruhan Belanjawan Sabah 2026 mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, untuk memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara seimbang, inklusif dan berteraskan kesejahteraan rakyat.
— TAMAT
