Penjenamaan semula kementerian bukti Kesungguhan Sabah pacu pembangunan : Ghulam Haidar

KOTA KINABALU: Langkah penjenamaan semula beberapa kementerian dalam Kabinet baharu Sabah membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk memacu pembangunan negeri agar seiring dengan perubahan dan cabaran global semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar berkata, peluasan skop dan pemodenan portfolio kementerian adalah pendekatan strategik bagi memastikan dasar dan pelaksanaan pembangunan lebih relevan, progresif serta berimpak tinggi kepada rakyat.

Beliau menyifatkan antara penjenamaan paling signifikan ialah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif; serta Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

“Penjenamaan ini bukan sekadar perubahan nama, tetapi mencerminkan hala tuju kerajaan untuk melahirkan generasi berdaya saing, membina pelapis kepimpinan masa depan dan memastikan Sabah terus bergerak ke hadapan dalam landskap global yang semakin mencabar,” katanya.

Menurut beliau, Kumpulan Yayasan Sabah berperanan sebagai rakan strategik penting kepada kementerian berkaitan, khususnya dalam agenda pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Hubungan rapat antara kementerian dan Kumpulan Yayasan Sabah akan memperkukuh pelaksanaan dasar, sekali gus memastikan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.

Dalam pada itu, Ghulam Haidar turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, khususnya dalam usaha menyelesaikan isu tuntutan hak 40 peratus hasil negeri.

“Hubungan baik Ketua Menteri dengan Kerajaan Persekutuan, termasuk Perdana Menteri, memberi keyakinan bahawa isu ini boleh diselesaikan secara berhemah dan berlandaskan peruntukan Perlembagaan.

“Kerajaan Negeri juga menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak Sabah berhubung Pemberian Khas 40 peratus di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berharap mekanisme yang sedang dirangka akan berjalan lancar hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, selain menyuarakan pandangan agar tiada lagi rayuan dibuat demi kepentingan jangka panjang Sabah.

Mengulas isu setempat, Ghulam Haidar turut membangkitkan keperluan menaik taraf sistem paip air lama di Kinarut serta memohon peruntukan khas dalam Belanjawan 2026 bagi meningkatkan rangkaian bekalan air di kawasan strategik DUN Kawang.

Beliau juga mencadangkan penyediaan pelan induk perparitan menyeluruh bagi menyelesaikan masalah banjir yang kerap berlaku di beberapa kawasan sekitar DUN berkenaan.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles