SANDAKAN:Bekas Ketua Bahagian MCA Batu Sapi, Dato’ Chew Kok Woh JP, bersama 179 penyokongnya secara rasmi menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) sebagai langkah meneruskan khidmat kepada masyarakat melalui sebuah parti tempatan.
Chew berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama rakan-rakan seperjuangannya yang sebulat suara bersetuju memilih PHRS sebagai wadah baharu untuk meneruskan perjuangan dan perkhidmatan kepada rakyat.
“Matlamat kami tetap sama, iaitu terus berbakti kepada masyarakat. Selepas berbincang, kami sepakat memilih PHRS sebagai platform untuk meneruskan usaha membantu rakyat, khususnya di Sandakan,” katanya.
Beliau berkata, borang permohonan keahlian seramai 179 ahli diserahkan kepada Timbalan Presiden PHRS, Samsiah Usman, sambil disaksikan Presiden PHRS, Brigedier Jeneral Tan Sri Datuk Liew Yun Fah JP.
Menurut Chew, Tan Sri Liew menyambut baik penyertaan kumpulan itu dan berharap kehadiran PHRS di daerah Sandakan dapat diperkukuhkan menerusi komitmen ahli-ahli baharu untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.
Beliau berkata, Presiden PHRS turut mengingatkan agar semua ahli memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat tanpa terus dibayangi perkara yang telah berlalu.
“Beliau menasihatkan kami supaya terus mendekati masyarakat, membantu golongan yang memerlukan serta memperkukuhkan aktiviti kemasyarakatan demi kesejahteraan rakyat di Sandakan,” katanya. Pada masa sama, Chew berkata Tan Sri Liew turut menyeru semua ahli PHRS agar sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan parti-parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri.
