TAWAU: Kerajaan negeri menyasarkan sifar kejadian kebakaran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas bermula 2026 melalui pendekatan pencegahan yang lebih menyeluruh dan berfokuskan keselamatan komuniti.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata usaha itu memberi penekanan kepada peningkatan tahap kesedaran masyarakat, keupayaan pasukan bomba komuniti serta penyediaan kemudahan keselamatan kebakaran yang mencukupi.
Katanya, sasaran tersebut penting memandangkan DUN Apas meliputi penempatan padat termasuk kawasan pesisir yang berisiko tinggi berlaku kebakaran.

“Kita mahu semua pihak memainkan peranan. Azam kita bagi tahun 2026 adalah memastikan kawasan ini mencapai sasaran sifar kebakaran.
“Kerjasama masyarakat sangat diperlukan, khususnya dalam aspek keselamatan elektrik dan pembinaan rumah,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Sri Aman Batu 3 Jalan Apas, di sini.
Nizam yang juga ADUN Apas berkata, kerajaan melalui Jawatankuasa Tindakan Daerah sedang meneliti keperluan menambah pili bomba di kawasan berisiko bagi memastikan tindakan pemadaman dapat dilakukan dengan lebih pantas dan berkesan.
Beliau turut menegaskan kepentingan bomba komuniti sebagai barisan awal ketika berlakunya kebakaran sebelum ketibaan pasukan bomba.
Menurutnya, kejayaan Bomba Komuniti Kampung Titingan dijadikan model apabila terbukti berkesan membantu mengawal api sekali gus meminimumkan kerosakan.
Dalam pada itu, mengulas kebakaran di Kampung Sri Aman Batu 3, Nizam berkata kejadian melibatkan 36 ketua isi rumah dengan hampir 226 mangsa kehilangan tempat tinggal.
Selain sumbangan peribadi, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan keperluan asas, manakala Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menyediakan kit makanan permulaan. PEKEMA Sabah pula menyumbangkan bantuan kewangan dan peralatan sekolah kepada anak mangsa.
Beliau berharap bantuan itu meringankan beban mangsa sambil menggesa penduduk sentiasa mematuhi langkah keselamatan.
“Kita belajar daripada setiap musibah. Dengan usaha bersepadu dan kesedaran rakyat, saya yakin sasaran sifar kebakaran di DUN Apas mampu dicapai,” katanya.
— TAMAT
