Masiung gesa agensi kerajaan Tongod rujuk buku ‘Suara Kuamut’ sebagai panduan Pembangunan

KUNDASANG: Ketua-ketua jabatan di daerah Tongod digesa merujuk buku Suara Kuamut – Pelan Pembangunan Daerah Tongod 2020–2030 sebagai panduan strategik dalam pelaksanaan pembangunan di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata buku tersebut merangkumi kerangka pembangunan yang disusun oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan menggariskan cadangan projek berpotensi bagi memacu kemajuan daerah itu.

“Kerangka yang terkandung dalam buku ini merupakan idea yang saya gariskan sebagai misi dan visi pembangunan Tongod hingga tahun 2030. Ia bukan sekadar dokumen, tetapi peta hala tuju untuk melonjakkan kemajuan daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Warga Kerja Pejabat Daerah Tongod di sebuah pusat peranginan di sini, semalam.

Majlis turut memperkenalkan Pegawai Daerah Tongod baharu, Hazlan Jablee yang menggantikan Yuesri Ismail Yusof yang berpindah tugas ke Membakut.

Masiung berkata, IDS bertindak sebagai fasilitator manakala Pegawai Daerah bersama ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan perlu memastikan pelaksanaan dasar berjalan lancar.

Beliau juga menekankan kepentingan penglibatan menyeluruh, termasuk Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM), pemimpin adat serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara holistik.

“Pegawai kerajaan perlu berkhidmat dengan penuh integriti dan tanggungjawab. Jangan melihat jawatan hanya sebagai kedudukan, tetapi amanah untuk membangunkan rakyat,” tegasnya.

Menurut beliau, buku Suara Kuamut menggariskan lima teras utama serta 10 strategi pembangunan, merangkumi sektor ekonomi, infrastruktur, pendidikan, modal insan, industri, sukan, kebudayaan, agama, keselamatan, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles