Annuar  hargai kepercayaan rakyat, seru terus bersatu bangun bersama

KENINGAU:Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, menzahirkan penghargaan kepada penduduk Kampung Padang Tembak atas sokongan luar biasa yang diterimanya semasa program santai mesra bersama masyarakat di kampung berkenaan baru-baru ini.

Beliau berkata sambutan hangat itu membuktikan hubungan erat antara pemimpin dan rakyat semakin kukuh, hasil pendekatan kepimpinan berteraskan keikhlasan, turun padang dan penyelesaian berasaskan keperluan sebenar masyarakat.

“Pada Pilihan Raya Negeri yang lalu, Padang Tembak pernah dianggap kawasan yang sukar didekati. Namun hari ini, situasinya sangat berbeza.

Kepercayaan yang wujud ini tidak lahir daripada janji pilihan raya, tetapi daripada apa yang telah kita lakukan dan rasai bersama sepanjang tempoh berkhidmat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Datuk Annuar Ayub Aman, beramah mesra bersama penduduk Kampung Padang Tembak dalam satu program santai mesra baru-baru ini. Beliau menzahirkan penghargaan atas sokongan luar biasa masyarakat dan menegaskan bahawa hasil kerja di lapangan menjadi bukti sebenar kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan GRS.

Annuar berkata, kejujuran dalam usaha dan keberanian membawa perubahan nyata di Padang Tembak menjadi asas utama yang mengukuhkan kepercayaan penduduk terhadap kepimpinannya.

“Perubahan ini bukan tercipta dalam sehari, tetapi hasil kerja konsisten, mendengar suara hati rakyat, dan menyelesaikan isu berdasarkan kemampuan serta keutamaan mereka,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan membina keyakinan rakyat bukan hasil retorik, tetapi kerja yang nyata di lapangan.

“Sokongan yang hadir bukan kerana politik semata-mata, tetapi kerana mereka melihat sendiri hasil usaha kita,” katanya.

Menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DU) Sabah ke-17, Annuar menegaskan bahawa beliau tidak perlu mencipta cerita baharu untuk meraih sokongan, kerana hasil kerja selama ini sudah menjadi cerita sebenar yang dibuktikan di Padang Tembak.

“Kita tidak perlu menabur janji baharu untuk meyakinkan rakyat. Apa yang telah kita usahakan di Padang Tembak adalah bukti nyata.

Rakyat sudah menjadi saksi kepada perubahan itu,” katanya.

Beliau turut mengajak masyarakat setempat agar terus bersama dalam semangat kebersamaan dan keikhlasan membina masa depan yang lebih baik untuk kawasan Liawan. “Terima kasih atas kepercayaan ini. Marilah kita teruskan langkah dengan cara yang baik, bersih dan ikhlas. Kita buat sama-sama,” katanya dengan penuh semangat.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles