SANDAKAN:Kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus menunjukkan komitmen berterusan dalam menyelenggara dan membaiki jalan raya di seluruh Sabah, termasuk di kawasan perumahan dan perniagaan di Sandakan, kata Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Chong Thien Ming.
Beliau berkata, kerja-kerja pembaikan dan naik taraf jalan yang dijalankan secara berterusan membuktikan kerajaan negeri serius dalam memastikan kemudahan asas untuk rakyat sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Masyarakat sendiri boleh lihat dengan jelas bahawa kerja-kerja membaiki jalan sentiasa dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Isu jalan rosak tidak sepatutnya dijadikan modal politik oleh pihak pembangkang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Chong menegaskan, pihak pembangkang tidak wajar memanipulasi isu jalan raya demi meraih perhatian menjelang Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, sebaliknya perlu bersikap lebih bertanggungjawab dan membina dalam memberi pandangan terhadap pembangunan negeri.
Chong berkata demikian selepas turun padang meninjau kerja pembaikan jalan di Jalan BDC, Sandakan, yang dijalankan oleh syarikat konsesi penyelenggaraan jalan raya.
“Saya menerima aduan daripada penduduk berkenaan keadaan jalan berlubang di kawasan itu. Hasil tindakan segera pihak konsesi, kerja pembaikan telah pun dilaksanakan,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus membuat pemantauan rapi terhadap keadaan jalan di sekitar Sandakan bagi memastikan kerja penyelenggaraan berjalan lancar dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Saya akan terus turun padang dari semasa ke semasa bagi memastikan kerja pembaikan siap dengan sempurna. Ini penting supaya masyarakat dapat menikmati infrastruktur yang selesa dan selamat,” tambahnya.
Dalam pada itu, Chong menyeru penduduk Sandakan agar membezakan antara maklumat sahih dan palsu, terutama menjelang musim pilihan raya, kerana terdapat pihak tertentu yang sengaja menyebarkan maklumat mengelirukan untuk menjejaskan reputasi kerajaan negeri.
“Jangan mudah terpengaruh dengan publisiti murahan. Fakta dan bukti di lapangan menunjukkan kerajaan GRS terus bekerja dan menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak agar memberi ruang kepada kerajaan negeri melaksanakan rancangan jangka panjang memperbaiki jaringan jalan raya, termasuk melalui pendekatan penyelenggaraan berjadual dan projek naik taraf berfasa di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
— TAMAT
