ADUN Sungai Manila mohon tangguh perobohan,beri ruang penduduk buat persediaan

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa memohon Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah menangguhkan tindakan perobohan rumah dan gerai di Kampung Gayan Sibugal selama enam bulan, bagi memberi ruang kepada penduduk membuat persediaan sebelum berpindah.

Hazem berkata, penangguhan itu penting bagi memastikan kebajikan penduduk yang terlibat terus terpelihara, selain membolehkan proses perpindahan dilaksanakan secara lebih tersusun dan berperikemanusiaan.

“Kita memohon supaya JTU mempertimbangkan penangguhan selama enam bulan agar penduduk mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan sebelum berpindah ke lokasi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan serta sesi perjumpaan bersama penduduk Kampung Gayan Sibugal, di sini, Ahad.

Turut hadir wakil JTU, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) serta beberapa agensi kerajaan berkaitan bagi membincangkan isu yang dibangkitkan penduduk dan mencari jalan penyelesaian terbaik.

PRIHATIN: Sebahagian warga Kampung Gayan Sibugal hadir dalam sesi dialog bersama Hazem serta wakil JTU dan MPS bagi mendapatkan penjelasan serta membincangkan penyelesaian terbaik berhubung isu perobohan rumah dan gerai di kampung itu.

𝗕𝗮𝗻𝘁𝘂 𝗣𝗲𝗻𝗱𝘂𝗱𝘂𝗸 𝗖𝗮𝗿𝗶 𝗧𝗮𝗻𝗮𝗵 𝗣𝗲𝗻𝗲𝗺𝗽𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗿𝘂
Menurut Hazem, semua pihak perlu bertimbang rasa dan mengambil kira rayuan penduduk demi memastikan kesejahteraan mereka terus terjamin.

“Keutamaan kita adalah memastikan kebajikan penduduk sentiasa diberi perhatian dalam menangani isu ini,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh penangguhan yang dipohon, pelbagai usaha akan dilaksanakan untuk membantu penduduk mendapatkan penempatan yang lebih sesuai melalui saluran serta prosedur yang ditetapkan.

“Dalam tempoh ini, kita akan membantu penduduk mencari tanah yang boleh dipohon mengikut saluran yang betul,” katanya.

𝗣𝗲𝗻𝗶𝗮𝗴𝗮 𝗗𝗶𝗯𝗲𝗻𝗮𝗿 𝗧𝗲𝗿𝘂𝘀 𝗕𝗲𝗿𝗻𝗶𝗮𝗴𝗮 𝗚𝘂𝗻𝗮 𝗞𝗮𝗻𝗼𝗽𝗶 𝗦𝗲𝗺𝗲𝗻𝘁𝗮𝗿𝗮
Mengulas mengenai peniaga yang terjejas, Hazem berkata mereka dibenarkan meneruskan aktiviti perniagaan sepanjang tempoh penangguhan berkenaan.

Menurutnya, terdapat peniaga yang telah merobohkan premis masing-masing namun memohon untuk terus berniaga menggunakan kanopi sementara.

“MPS turut mencadangkan beberapa lokasi yang bersesuaian sebagai tapak perniagaan sementara. Mereka boleh mengemukakan permohonan dan kita akan menguruskannya secara lebih teratur berdasarkan agihan lot yang ditetapkan,” katanya.

𝗜𝘀𝘂 𝗟𝗮𝗶𝗻 𝗣𝗲𝗻𝗱𝘂𝗱𝘂𝗸 𝗔𝗸𝗮𝗻 𝗗𝗶𝘁𝗲𝗹𝗶𝘁𝗶
Dalam pada itu, Hazem berkata pertemuan bersama penduduk turut memberi ruang kepada mereka untuk menyuarakan pelbagai isu lain yang dihadapi di kawasan berkenaan. “Apa juga perkara yang dibangkitkan oleh penduduk akan diberikan perhatian dan diteliti untuk tindakan susulan,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles