KOTA KINABALU:Sabah SME Fest 2026 yang julung kali dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) menjadi platform penting dalam memperkasa sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Ewon Benedick berkata, festival selama tiga hari yang diadakan sempena Minggu PMKS itu menyediakan ruang kondusif bagi pembangunan perniagaan, inovasi, jaringan strategik serta peluasan akses pasaran kepada usahawan tempatan.
Beliau berkata, lebih 60 usahawan daripada pelbagai sektor mengambil bahagian sebagai pempamer, manakala kira-kira 5,000 pengunjung disasarkan menghadiri festival berkenaan.
“Sabah SME Fest 2026 menghimpunkan usahawan, agensi kerajaan, institusi kewangan, badan pembangunan usahawan dan sektor swasta dalam satu platform yang menyeluruh.
“Ia bukan sahaja mempromosikan produk dan perkhidmatan PMKS, malah membuka peluang kepada jaringan strategik, perkongsian ilmu dan penerokaan peluang perniagaan yang memberi manfaat secara langsung kepada usahawan Sabah,” katanya ketika merasmikan festival itu di sini.
𝗦𝗼𝗸𝗼𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗿𝗮𝗷𝗮𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗿𝗸𝘂𝗸𝘂𝗵 𝗗𝗮𝘆𝗮 𝗦𝗮𝗶𝗻𝗴 𝗣𝗠𝗞𝗦
Menurut Ewon, program berkenaan membantu PMKS meningkatkan daya saing melalui pendedahan kepada pelbagai bentuk sokongan kerajaan dan rakan strategik, termasuk latihan keusahawanan, pendigitalan perniagaan, bantuan mesin dan peralatan, pensijilan serta akses kepada pasaran yang lebih luas.
Beliau berkata, kerjasama strategik menerusi Sabah DigitalUp Launchpad 2026 dan Kempen Sabah Digital Mall di TikTok memberi peluang kepada usahawan mengembangkan perniagaan melalui platform digital serta menembusi pasaran nasional dan serantau.
Beliau berkata, antara cabaran utama yang dihadapi PMKS di Sabah ialah meningkatkan produktiviti, memperluaskan akses pasaran dan menyesuaikan operasi perniagaan dengan perkembangan teknologi serta pendigitalan.
Sehubungan itu, kerajaan negeri terus komited membantu usahawan melalui pelbagai program pembangunan termasuk Bantuan SME-UP, latihan keusahawanan dan program transformasi digital.
“Kerajaan turut memperkenalkan Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan bernilai RM1 juta serta memperluaskan pelaksanaan Program Bantuan SME-UP 2026 bagi membantu PMKS berkembang secara mampan dan lebih berdaya saing,” katanya.
𝗦𝗮𝗯𝗮𝗵 𝗗𝗶𝗴𝗶𝘁𝗮𝗹𝗨𝗽 𝗟𝗮𝘂𝗻𝗰𝗵𝗽𝗮𝗱 𝟮𝟬𝟮𝟲 𝗦𝗮𝘀𝗮𝗿 𝟭,𝟬𝟬𝟬 𝗣𝗠𝗞𝗦
Ewon berkata, kementeriannya juga bekerjasama dengan TikTok Shop Malaysia menerusi Sabah DigitalUp Launchpad 2026 yang menyasarkan penyertaan 1,000 PMKS, nilai jualan digital RM10 juta serta pelaburan RM1 juta dalam bentuk geran, latihan dan sokongan komuniti.
“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan Sabah berkembang daripada jenama tempatan kepada jenama yang mampu bersaing di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa. “Melalui kerjasama erat antara kerajaan, institusi kewangan, sektor swasta dan penyedia teknologi, usahawan akan mendapat akses lebih luas kepada pembiayaan, latihan, pemasaran dan peluang jaringan yang diperlukan untuk terus maju,” katanya.
