KOTA KINABALU:Sabah kini berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai pemain utama dalam industri minyak dan gas menerusi penglibatan lebih aktif dalam pemilikan aset tenaga, pembangunan sumber baharu serta pengukuhan rantaian nilai industri yang memberi manfaat langsung kepada negeri dan rakyat.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, melalui SMJ Energy, kerajaan negeri sedang mempercepatkan pembangunan sektor huluan, mengkomersialkan penemuan sumber tenaga baharu serta memastikan lebih banyak nilai ekonomi daripada sumber negeri dapat dikekalkan di Sabah.
Menurut beliau, transformasi yang sedang berlaku membuktikan Sabah bukan lagi sekadar pengeluar sumber, sebaliknya memainkan peranan lebih besar sebagai pemilik, pelabur dan pemacu pertumbuhan industri tenaga.
“Sabah bukan lagi sekadar pemerhati. Kita adalah pemilik, penyumbang dan pemangkin yang membentuk masa depan industri minyak dan gas negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Alu-aluan Oil & Gas Services and Equipment Conference and Exhibition (OGSE) Sabah 2026 di Dewan Sipadan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
𝗦𝗮𝗯𝗮𝗵 𝗧𝗲𝗿𝗯𝘂𝗸𝗮 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗣𝗲𝗹𝗮𝗯𝘂𝗿 𝗱𝗮𝗻 𝗥𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗦𝘁𝗿𝗮𝘁𝗲𝗴𝗶𝗸 𝗔𝗻𝘁𝗮𝗿𝗮𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮:
Masidi yang juga Pengerusi SMJ Energy berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan pelabur dan rakan strategik antarabangsa melalui kerjasama yang melibatkan perkongsian teknologi, kepakaran serta modal bagi mempercepatkan pertumbuhan industri tenaga Sabah.
Beliau berkata, kerjasama erat antara kerajaan, syarikat tenaga dan pelabur mampu memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab tenaga yang semakin berkembang di rantau ini.
Pada masa sama, Masidi menggesa syarikat yang terlibat dalam industri minyak dan gas agar memberi lebih banyak peluang kepada vendor tempatan, melabur dalam pembangunan bakat anak Sabah serta membina kerjasama jangka panjang yang mampan.
“Penglibatan lebih besar syarikat tempatan dalam rantaian bekalan industri ini mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pemindahan teknologi serta memperkukuh keupayaan perusahaan tempatan,” katanya.
𝗢𝗚𝗦𝗘 𝟮𝟬𝟮𝟲 𝗣𝗹𝗮𝘁𝗳𝗼𝗿𝗺 𝗦𝘁𝗿𝗮𝘁𝗲𝗴𝗶𝗸 𝗣𝗲𝗿𝗸𝘂𝗸𝘂𝗵 𝗣𝗲𝗹𝗮𝗯𝘂𝗿𝗮𝗻:
Menurut Masidi, penganjuran OGSE Sabah 2026 bukan sekadar platform mempamerkan teknologi dan perkhidmatan industri minyak dan gas, tetapi turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh kestabilan ekonomi, meningkatkan kebebasan komersial serta mewujudkan persekitaran pelaburan yang lebih kompetitif.
Beliau berkata, sektor tenaga kekal sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah dan memainkan peranan penting dalam menjana hasil negeri, menarik pelaburan serta mewujudkan peluang pembangunan yang lebih luas.
Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus menyokong pertumbuhan sektor berkenaan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat melalui peluang pekerjaan, pembangunan modal insan dan peningkatan kesejahteraan ekonomi.
“Usaha memperkukuh industri minyak dan gas bukan sahaja penting dari sudut ekonomi, malah turut menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan, peningkatan kemahiran tenaga kerja dan kemakmuran negeri secara keseluruhan,” katanya.
