KOTA KINABALU:Sambutan Hari Ibu bukan sekadar medan menghargai jasa dan pengorbanan seorang ibu, malah menjadi platform penting untuk mengiktiraf peranan wanita sebagai tonggak keluarga, masyarakat dan pembangunan negara.
Presiden Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun berkata, wanita memainkan pelbagai peranan penting sebagai ibu, isteri, pemimpin, usahawan dan penggerak masyarakat yang menyumbang secara signifikan kepada kemajuan negeri dan negara.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Glamorous Saloma Night sempena Sambutan Hari Ibu 2026, anjuran Biro Kebudayaan dan Sosial PPS yang dipengerusikan oleh Puan Annie Lourdes, di sini semalam.

𝗦𝗮𝗹𝗼𝗺𝗮 𝗧𝗲𝗹𝗮𝗱𝗮𝗻 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗠𝗮𝘀𝗮 𝗞𝗶𝗻𝗶:
Menurut Azizah, pemilihan Allahyarhamah Saloma sebagai ikon majlis amat bertepatan kerana seniwati tersohor negara itu bukan sahaja dikenali atas bakat dan pencapaiannya dalam dunia seni, malah memiliki keperibadian yang wajar dijadikan teladan oleh wanita masa kini.
“Saloma bukan sahaja seorang anak seni yang hebat, tetapi juga seorang isteri yang setia, wanita yang dermawan, rajin berusaha, rendah diri serta sentiasa menjaga maruah diri dan keluarganya.
“Nilai-nilai murni inilah yang perlu terus dihayati dan dicontohi oleh golongan wanita dalam menghadapi cabaran kehidupan moden hari ini,” katanya.

𝗘𝗿𝗮𝘁𝗸𝗮𝗻 𝗦𝗶𝗹𝗮𝘁𝘂𝗿𝗮𝗵𝗶𝗺 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗣𝗲𝗹𝗯𝗮𝗴𝗮𝗶 𝗟𝗮𝘁𝗮𝗿 𝗕𝗲𝗹𝗮𝗸𝗮𝗻𝗴:
Azizah turut merakamkan penghargaan kepada PPS yang terus komited melaksanakan pelbagai program pembangunan wanita serta aktiviti kebajikan masyarakat sejak penubuhannya.
Beliau berkata, penganjuran majlis berkonsepkan nostalgia itu bukan sahaja meraikan Hari Ibu, malah berperanan mengeratkan silaturahim serta menyatukan wanita daripada pelbagai latar belakang dalam suasana harmoni dan penuh muhibah.
“Sebagai wanita, kita perlu sentiasa menghargai diri sendiri, memperkasakan potensi yang dimiliki serta yakin bahawa wanita mampu menjadi pemimpin yang berjaya, usahawan yang cemerlang dan ibu yang menjadi inspirasi kepada keluarga serta masyarakat,” katanya.
𝗞𝘂𝗸𝘂𝗵𝗸𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗿𝗷𝗮𝘀𝗮𝗺𝗮 𝗣𝗲𝗿𝘁𝘂𝗯𝘂𝗵𝗮𝗻 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗦𝗮𝗯𝗮𝗵:
Azizah turut menggesa agar kerjasama antara pertubuhan wanita di Sabah terus diperkukuhkan bagi memastikan agenda pemerkasaan wanita dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh, berkesan dan mampan.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru seluruh masyarakat agar terus menghargai jasa serta pengorbanan golongan ibu dan wanita yang menjadi tunjang kepada kesejahteraan keluarga dan kemajuan negeri.
“Apabila kita menghormati dan menghargai diri sendiri sebagai wanita, orang lain juga akan menghormati dan menghargai kita. Wanita adalah kekuatan keluarga dan aset penting kepada kemajuan negeri serta negara,” katanya.
