KOTA KINABALU:Peningkatan Bayaran Khas Interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion disifatkan sebagai satu perkembangan positif yang mencerminkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memberi perhatian terhadap pembangunan dan hak-hak negeri ini.
Ketua Wanita Parti Liberal Demokratik (LDP) merangkap Timbalan Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Glenna Wong berkata, tambahan peruntukan itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan kewangan Sabah, malah membuka ruang fiskal yang lebih luas bagi mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan dan program kebajikan rakyat.
Menurut beliau, peruntukan tambahan itu dijangka memberi manfaat langsung kepada rakyat menerusi pelaksanaan projek infrastruktur asas, termasuk pembinaan jalan raya, bekalan air bersih, pendidikan, kesihatan serta pembangunan kawasan luar bandar yang menjadi antara keutamaan kerajaan negeri.
“Rakyat mengharapkan pembangunan yang benar-benar memberi impak kepada kehidupan mereka. Oleh itu, setiap peruntukan yang disalurkan perlu diurus secara telus, cekap dan berkesan demi manfaat langsung kepada golongan yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan.

𝗛𝗮𝗸 𝟰𝟬 𝗣𝗲𝗿𝗮𝘁𝘂𝘀 𝗧𝗲𝘁𝗮𝗽 𝗣𝗲𝗿𝗹𝘂 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝗷𝘂𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗻:
Sementara itu, Glenna turut menyambut baik kenyataan Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda yang mengalu-alukan peningkatan Bayaran Khas Interim tersebut, sambil menegaskan bahawa perjuangan menuntut pelaksanaan penuh hak 40 peratus Sabah perlu diteruskan.
Beliau menegaskan, walaupun peningkatan bayaran interim itu merupakan langkah yang wajar dihargai, ia tidak boleh dianggap sebagai pengganti kepada hak perlembagaan Sabah yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
“Perjuangan menuntut pelaksanaan penuh hak 40 peratus perlu diteruskan sehingga satu penyelesaian yang adil dan muktamad dapat dicapai demi kepentingan Sabah dan seluruh rakyatnya,” katanya.

𝗣𝘂𝗷𝗶 𝗞𝗲𝗽𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶𝗷𝗶:
Glenna turut memuji kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor serta kerajaan negeri yang dinilainya konsisten memperjuangkan hak-hak Sabah melalui pendekatan yang matang, rasional dan konstruktif.
Beliau turut menekankan kepentingan memelihara hubungan kerjasama yang erat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan bagi memastikan agenda pembangunan Sabah dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan mampan. Glenna berharap tambahan peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, sekali gus membantu mempercepatkan pembangunan negeri secara menyeluruh.
