Hak 40 peratus Sabah terus diperjuang, semakan baharu dijangka 2026

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan kini mengiktiraf hak Sabah untuk menerima Pemberian Khas 40 peratus sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus memperlihatkan komitmen untuk memperbetulkan pendirian rasmi pentadbiran terdahulu berhubung perkara itu.

Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pengiktirafan tersebut selaras dengan komitmen yang dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk menerusi kenyataan rasmi di Dewan Rakyat pada 13 November 2025.

Menurut beliau, pendirian Kerajaan Persekutuan ketika ini merupakan satu perkembangan penting dalam perjuangan menuntut hak Sabah yang telah sekian lama diperjuangkan.

“Komitmen ini menzahirkan kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk memperbetulkan pendirian rasmi pentadbiran terdahulu yang bukan sahaja tidak melaksanakan semakan berkaitan hak 40 peratus Sabah, malah pernah menjawab secara rasmi di Parlimen bahawa hak tersebut telah terhenti berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyelaras Sesi Perbincangan Khas Status Perkembangan Pelaksanaan Hak 40 Peratus Sabah bersama pimpinan utama GRS dan wakil Ahli-Ahli Yang Berhormat Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Undangan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Khamis.

Turut hadir ialah ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah yang mengetuai delegasi negeri dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JT-MTPMA63).

Armizan berkata, walaupun prosiding berkaitan hak 40 peratus Sabah masih berjalan di Mahkamah Rayuan, GRS tetap berpendirian bahawa semakan terkini kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan perlu diselesaikan tahun ini.

“GRS telah menyatakan pendirian tegas bahawa semakan kadar Pemberian Khas mesti dilaksanakan pada tahun ini dan kita yakin Kerajaan Persekutuan akan bersetuju untuk membuat semakan dengan kadar baharu yang lebih tinggi bermula tahun 2026,” katanya.

Menurut beliau, tuntutan tersebut bukan sekadar berkaitan soal kewangan, sebaliknya bertujuan memperluaskan ruang fiskal negeri bagi membolehkan lebih banyak program pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan.

Katanya, peningkatan kadar Pemberian Khas daripada hanya RM26.7 juta setahun bagi tempoh 1974 hingga 2021 kepada RM600 juta setahun ketika ini telah memberi impak besar kepada keupayaan kewangan kerajaan negeri.

“Hasil peningkatan ini, kerajaan negeri berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, termasuk Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang merekodkan sebanyak 6,634 unit rumah siap dibina dan diduduki setakat 30 April 2026.

“Selain itu, Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu turut membantu kira-kira 140,000 ketua isi rumah miskin di seluruh Sabah menerusi bantuan tunai bulanan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya kadar baharu Pemberian Khas berjaya dipersetujui, kerajaan negeri bercadang menyalurkan sebahagian besar hasil tambahan itu untuk memperkukuh infrastruktur asas negeri, termasuk menaik taraf sistem bekalan air bagi mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) serta membina lebih banyak jambatan dan kemudahan awam khususnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, perjuangan mendapatkan hak 40 peratus Sabah akan terus diperkasakan melalui saluran rundingan dan kerjasama konstruktif antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan demi memastikan hak yang termaktub dalam Perlembagaan dapat direalisasikan sepenuhnya untuk manfaat rakyat Sabah.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles