Silat bentuk disiplin, jati diri dan kepimpinan generasi muda : Azman

KENINGAU: Generasi muda disaran untuk terus melibatkan diri secara aktif dalam seni bela diri, khususnya silat, sebagai usaha memelihara dan memartabatkan warisan budaya bangsa yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Malaysia.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Liawan, Datuk Azman Ruslan berkata, seni bela diri bukan sahaja berperanan sebagai medium mempertahankan diri, malah menjadi platform penting dalam membentuk sahsiah, disiplin dan jati diri generasi muda.

Menurut beliau, penglibatan dalam seni bela diri mampu meningkatkan keyakinan diri, kecergasan fizikal serta melahirkan individu yang berakhlak dan berdisiplin.

“Selain meningkatkan disiplin dan kecergasan fizikal, seni bela diri turut memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian serta nilai-nilai positif dalam kalangan anak-anak muda.

“Justeru, saya amat menyokong penganjuran program seumpama ini dan berharap lebih ramai belia tampil menyertai aktiviti seni mempertahankan diri sebagai satu usaha memperkukuh jati diri serta memelihara warisan bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Erat Silaturahim Pendekar bersama Kelab Silat Olahraga Fatani (KeSOFAA) di Surau Kampung Rezab Lambanga, baru-baru ini.

Majlis tersebut diadakan bagi meraikan para pesilat Kelab Silat Olahraga Fatani yang berjaya mengharumkan nama daerah dan negeri menerusi pencapaian cemerlang dalam beberapa kejohanan silat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Turut hadir ialah Tuan Guru Pani Danggan @ Firdaus Asmat (Silat Sendeng), Tuan Guru Jampi Kembara (Silat Betewi), Tuan Guru Samir Salleh (Silat Betewi), Tuan Guru Mansor (Silat Betewi), Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Liawan, Upilin @ Abdul Samad Abdul Rahman, Naib Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Liawan, Sahanip Jamil serta barisan kepimpinan dan ahli jawatankuasa parti di kawasan Liawan dan Bingkor.

Dalam pada itu, Azman turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Silat Olahraga Fatani atas kejayaan membanggakan yang diraih sepanjang tahun lalu dan tahun ini.

Antara pencapaian kelab berkenaan ialah menjuarai Pertandingan Silat Apin-Apin 2025, meraih tempat ketiga dalam Labuan International Beach Silat Championship 2025 serta muncul Juara Keseluruhan Kejohanan Silat Pantai Antarabangsa Labuan.

Beliau berkata, kejayaan tersebut membuktikan bahawa anak-anak Sabah memiliki bakat dan potensi besar dalam arena seni bela diri serta mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai generasi muda untuk bergiat aktif dalam bidang sukan dan seni mempertahankan diri, sekali gus meneruskan kesinambungan warisan budaya bangsa untuk generasi akan datang,” katanya.

Pada majlis itu, Azman turut menyampaikan hadiah dan sijil penghargaan kepada para atlet serta ahli kelab yang mencatat pelbagai kejayaan dalam kejohanan silat yang disertai.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles