UPPM, Sabah Electricity perkukuh kerjasama penyampaian maklumat kepada rakyat

SANDAKAN: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah dan Sabah Electricity terus memperkukuh kerjasama strategik dalam memastikan penyampaian maklumat berkaitan perkhidmatan bekalan elektrik dapat disalurkan secara tepat dan berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Pengarah UPPM Negeri Sabah, Datuk Awang Kadin Tang berkata, sesi libat urus antara kedua-dua pihak amat penting bagi memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat dalam menangani isu rakyat secara lebih tersusun dan efektif.

Menurutnya, penyampaian maklumat yang jelas dan tepat dapat membantu meningkatkan kefahaman rakyat selain mengelakkan kekeliruan berkaitan isu utiliti yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian masyarakat.

“Sesi seperti ini memberi ruang kepada pemimpin masyarakat untuk memahami dengan lebih mendalam isu berkaitan bekalan elektrik, sekali gus membantu menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat,” katanya.

KERJASAMA: Awang Kadin merakamkan gambar kenangan bersama pengurusan Sabah Electricity dan peserta sesi libat urus di Livingston Hotel, Sandakan.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sesi Libat Urus Sabah Electricity bersama UPPM melibatkan 13 Dewan Undangan Negeri (DUN) sekitar Parlimen Beluran, Libaran, Batu Sapi, Sandakan dan Kinabatangan di Ballroom, Livingston Hotel, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar bersama pegawai kanan syarikat utiliti berkenaan.

Dalam sesi itu, pihak Sabah Electricity turut menyampaikan penerangan berkaitan usaha memperkasa komuniti melalui pendekatan ketelusan serta peningkatan kefahaman rakyat terhadap isu berkaitan bekalan elektrik.

Antara perkara dibincangkan termasuk pemahaman mengenai tarif elektrik, diagnosis bil pengguna serta kerjasama strategik antara Sabah Electricity dan UPPM dalam memastikan maklumat berkaitan perkhidmatan utiliti dapat disampaikan secara terus kepada masyarakat.

Sesi berkenaan turut membuka ruang kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) mengemukakan persoalan serta isu semasa berkaitan perkhidmatan elektrik di kawasan masing-masing yang dijawab secara langsung oleh pihak Sabah Electricity.

Awang Kadin berharap kerjasama erat antara UPPM dan Sabah Electricity dapat diteruskan demi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat selaras aspirasi pembangunan negeri Sabah.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles