SEPANGGAR: Sambutan Pesta Kaamatan bukan sekadar perayaan tradisi masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus (KDMR), sebaliknya telah berkembang sebagai simbol perpaduan rakyat Sabah yang diraikan bersama oleh semua kaum dan agama di negeri ini.
Pengerusi Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS), Datuk Japlin Akim berkata, semangat kebersamaan yang diterapkan menerusi sambutan Kaamatan mampu memperkukuh hubungan silaturahim, memupuk persefahaman serta mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Menurut beliau, Sabah sejak sekian lama dikenali sebagai contoh terbaik keharmonian masyarakat majmuk yang hidup dalam suasana saling menghormati walaupun berbeza budaya, agama dan latar belakang.
“Keunikan rakyat Sabah terletak pada semangat kekeluargaan dan toleransi yang sentiasa diamalkan sejak dahulu lagi. Sebab itu sambutan seperti Kaamatan diraikan bersama tanpa mengira kaum dan agama.
“Kaamatan bukan sahaja menyatukan masyarakat, malah menjadi platform terbaik mengeratkan hubungan antara pekerja dan majikan melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan serta program kebersamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Pesta Kaamatan bersama kakitangan Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd di Sepanggar, pada Ahad.
Majlis anjuran Kelab Sosial dan Rekreasi Kakitangan CIS (CISRA) itu turut dihadiri Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof; Pengurus Operasi Kilang, Ir. Rajesh Datuk Yusof; Pengurus Kanan Kualiti, Alimat Anuar Salam; Pengurus Kanan Sumber Manusia, Ezrie Ag Raini serta barisan pengurusan dan kakitangan CIS.
Japlin berkata, hubungan baik antara pekerja dan majikan amat penting dalam mewujudkan suasana kerja yang harmoni, produktif dan saling menghormati.
Tambah beliau, nilai perpaduan, toleransi dan sikap saling menghargai yang diterapkan menerusi sambutan Kaamatan perlu terus dipelihara demi memastikan kestabilan sosial dan kemajuan negeri Sabah dapat dinikmati bersama oleh seluruh rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat agar terus memperkukuh semangat perpaduan serta mengekalkan budaya hormat-menghormati yang menjadi kekuatan utama rakyat Sabah selama ini.
