Tawau jadi tumpuan Kejohanan Ragbi Terbuka Sabah September ini

TAWAU: Kejohanan Ragbi Terbuka Sabah 2026 dijangka menjadi platform penyatuan kelab-kelab ragbi dari seluruh negara apabila berlangsung di Kompleks Sukan Tawau pada 26 dan 27 September ini.

Presiden Tawau Panthers Rugby, Ismail Sabran berkata, kejohanan itu bakal menghimpunkan penyertaan pasukan dari Sabah, Sarawak, Labuan serta Semenanjung Malaysia sekali gus menghidupkan kembali suasana sukan ragbi di daerah berkenaan.

Menurutnya, penganjuran kejohanan itu turut menjadi simbol kebangkitan semula sukan ragbi di Tawau selepas hampir 15 tahun tidak dianjurkan secara besar-besaran.

Katanya, kejohanan tersebut akan mempertandingkan dua kategori iaitu terbuka dan veteran dengan keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM16,800.

“Penganjuran ini bukan sekadar kejohanan sukan, tetapi juga platform untuk mencungkil bakat baharu, mengeratkan hubungan antara pemain serta memperkukuh pembangunan sukan ragbi di Sabah.

“Kita mengalu-alukan penyertaan kelab dari seluruh negara termasuk Sarawak, Labuan dan Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bagi membincangkan penganjuran kejohanan berkenaan baru-baru ini.

Ismail berkata, sokongan daripada kementerian serta Sabah Rugby Union (SRU) amat penting bagi memastikan kejohanan itu dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan.

Menurutnya, kejohanan berkenaan juga dijangka memberi impak positif kepada ekonomi setempat menerusi kehadiran pasukan serta penyokong dari luar negeri.

“Penganjuran ini selari dengan usaha memperkasa pembangunan sukan belia di samping menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Datuk Nizam Abu Bakar Titingan atas sokongan berterusan terhadap usaha memperkukuh pembangunan sukan di Sabah,” katanya. Beliau berkata, kejohanan itu turut mendapat sokongan penuh Sabah Rugby Union dan diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak penganjuran kejohanan bertaraf negeri serta kebangsaan di Tawau pada masa akan datang.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles