108 pelajar Matunggong terima insentif SPM, bukti peningkatan prestasi akademik

MATUNGGONG: Seramai 108 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari kawasan Matunggong menerima insentif sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik mereka.

Penerima terdiri daripada pelajar SMK Pinawantai Kudat, SMK Sikuati dan SMK Sikuati II, selain lapan pelajar dari Matunggong yang menuntut di luar daerah.

Insentif yang disalurkan adalah antara RM500 bagi pencapaian 5A hingga RM1,000 bagi pelajar yang memperoleh 10A.

𝗞𝗼𝗺𝗶𝘁𝗺𝗲𝗻 𝗯𝗲𝗿𝘁𝗲𝗿𝘂𝘀𝗮𝗻 𝘀𝗼𝗸𝗼𝗻𝗴 𝗽𝗲𝗻𝗱𝗶𝗱𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗹𝘂𝗮𝗿 𝗯𝗮𝗻𝗱𝗮𝗿:
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, program yang diperkenalkan sejak 2019 itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong kecemerlangan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.

“Sepanjang tujuh tahun pelaksanaan program ini, jumlah pelajar cemerlang di Matunggong menunjukkan peningkatan yang konsisten.

“Kini semakin ramai pelajar mencapai keputusan 7A, 8A dan sehingga 10A, yang membuktikan sokongan berterusan mampu menghasilkan kemajuan sebenar,” katanya pada majlis penyampaian insentif di sini, Sabtu.

𝗣𝗲𝗹𝗮𝗷𝗮𝗿 𝗱𝗶𝗴𝗮𝗹𝗮𝗸 𝗽𝗶𝗹𝗶𝗵 𝗹𝗮𝗹𝘂𝗮𝗻 𝗺𝗮𝘀𝗮 𝗱𝗲𝗽𝗮𝗻 𝗱𝗲𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗯𝗶𝗷𝗮𝗸:
Julita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong turut menasihatkan pelajar agar membuat pilihan yang tepat dalam menentukan hala tuju masa depan.

“Masa depan ditentukan oleh pilihan yang dibuat setiap hari. Utamakan disiplin, bina sahsiah dan elakkan mengambil jalan mudah,” katanya.

𝗣𝗲𝗻𝗰𝗮𝗽𝗮𝗶𝗮𝗻 𝘀𝗲𝗸𝗼𝗹𝗮𝗵 𝗱𝗮𝗻 𝗽𝗲𝗹𝗮𝗷𝗮𝗿 𝗰𝗲𝗺𝗲𝗿𝗹𝗮𝗻𝗴:
Berdasarkan keputusan, SMK Pinawantai mencatatkan 11 pelajar memperoleh 5A, tujuh pelajar 6A, lima pelajar 7A, dua pelajar 8A dan empat pelajar 9A.

SMK Sikuati pula merekodkan 18 pelajar memperoleh 5A, 12 pelajar 6A dan tiga pelajar 7A, manakala SMK Sikuati II mencatatkan 16 pelajar 5A, lima pelajar 6A, lima pelajar 7A, seorang pelajar 8A dan empat pelajar 9A.

Turut mencuri tumpuan ialah dua pelajar dari luar daerah yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang 10A.

𝗜𝗻𝘀𝗽𝗶𝗿𝗮𝘀𝗶 𝗸𝗲𝗷𝗮𝘆𝗮𝗮𝗻 𝗽𝗲𝗹𝗮𝗷𝗮𝗿:
Antara penerima, Clariryan Fadrer Janius dari SMK Pinawantai yang memperoleh 9A berkata disiplin dan konsistensi menjadi kunci kejayaannya.

“Saya berasa sangat gembira dan bangga atas usaha ini. Disiplin, konsistensi dan fokus amat penting untuk mencapai keputusan yang baik,” katanya.

Charlotte Ivenne Lomius dari SMK Sikuati II yang memperoleh 8A pula berkata beliau kekal fokus dalam pembelajaran walaupun berdepan cabaran sebagai pelajar asrama.

Ruth Nathalie Juining dari SMK Sikuati yang memperoleh 7A berkata ibu bapanya yang juga guru menjadi sumber inspirasi untuk berjaya.


𝗚𝗮𝗹𝗮𝗸 𝗽𝗲𝗹𝗮𝗷𝗮𝗿 𝘁𝗲𝗿𝘂𝘀 𝗺𝗲𝗹𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗵 𝗸𝗲 𝗵𝗮𝗱𝗮𝗽𝗮𝗻:
Program insentif ini bertujuan memberi penghargaan kepada pelajar cemerlang selain menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran serta menyumbang kembali kepada masyarakat.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles